"Kutuk macam kenal dari kecil pula, beringat ketika berbicara" Nabila Razali tegur rakan artis
KUALA LUMPUR : Dikutuk kerana mempamerkan persembahan menghampakan ramai pada Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) tempoh hari, penyanyi Nabila Razali,29, mengaku paling kesal kerana ada antara kecaman tersebut datang daripada individu yang dikenalinya.
Menurut Nabila, selama ini dia terbuka menerima teguran daripada pelbagai pihak sama ada peminat atau pendengar namun tidak menyangka terdapat beberapa individu yang tergolong sebagai rakan artis turut tergamak mengutuk di belakang.
“Kesal juga kerana tak sangka, orang yang sama-sama cari rezeki dalam bidang ini, pernah sama-sama duduk semeja, duduk berbual, namun dia jugalah yang cakap negatif pasal saya.
“Sedangkan kita sama-sama menjadikan kerjaya ini sebagai periuk nasi, apa salah makan elok-elok? Sebenarnya tak perlu pun menambah minyak lagi.
“Sekarang saya dah tahu siapa kawan, siapa lawan,”katanya.
Nabila berkata demikian ketika ditemui dalam majlis pelancaran kolaborasi sulung Big Mouth bersamanya di Hotel Royale Chulan, di ibu kota semalam.
Selain itu menurut penyanyi ini lagi, dia mengaku agak terkesan dengan komen-komen negatif yang dilemparkan namun tidak mahu berlama-lama larut dalam emosi yang merugikan.
“Tak perlu untuk saya dedahkan siapakah mereka itu. Siapa yang tahu, tahulah. Bukan apa, mereka ini cakap tentang saya seolah-olah begitu mengenali diri ini sejak kecil, tak manislah bukan.
“Tak apalah, harap-harap selepas ini kita semua boleh buka mata dan beringat setiap kali berbicara akan sesuatu. Adakala kita ini sebagai manusia bila enak bercakap sampai lupa keadaan sekeliling,”katanya.
Dalam pada itu, Nabila juga menyangkal dakwaan yang mengatakan dia enggan lagi meneruskan kerjaya sebagai penyanyi gara-gara kegagalan di AJL35.
“Perkara itu tidak akan berlaku. Tiada apa yang dapat menghalang saya daripada melakukan apa yang disukai.
“Sekarang ini, walau apa pun yang saya buat, orang tetap akan bercakap. Tak mengapa, perkara yang dah lepas sudah pun terjadi.
“Apa yang penting terus berjalan ke hadapan sebab kita masih boleh merancang untuk hari esok,”katanya.
Terdahulu, Nabila semasa pertandingan berprestij itu telah membawakan lagu berjudul Peluang Kedua hasil karya Hael Husaini dan MFMF.
Namun persembahan itu disifatkan gagal kerana Nabila telah melakukan kesilapan sehingga dilabel tidak layak bergelar seorang penyanyi yang bagus.
-UTUSAN