Mesyuarat PAS UMNO bincang kukuhkan MN, tak sentuh mengenai Bersatu -Tuan Ibrahim
KUALA LUMPUR – Mesyuarat UMNO dan PAS malam ini bersetuju untuk terus memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN).
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mesyuarat jawatankuasa perundingan ini tidak membincangkan sebarang kata putus sebaliknya ia cuma mesyuarat rutin memperkukuhkan MN.
“Banyak bincang untuk memperkukuhkan MN kerjasama dan sebagainya.
“Kita sentuh program-program bersama khususnya untuk Ramadan banyak program bersama yang kita susun.
“Kita banyak bincang untuk memperkasa hubungan berjalan macam biasa tak ada masalah. Kita pun jadualkan,” jelas beliau di Menara Datuk Onn, malam ini.
Ditanya mengenai perbincangan berhubung Bersatu, Tuan Ibrahim berkata, Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) bukan MN.
“Malam ini kita tak cakap mengenai Bersatu, itu PN ini MN,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad memberitahu mesyuarat rutin usaha perkukuhkan MN.
“Apa yang penting agenda MN dapat diteruskan, meeting dah jadualkan sebelum ini.
“Tak ada ketegangan kita dah set mesyuarat akan datang maknanya MN sedang berjalan dengan baik,” ujarnya.
Dalam pada itu, kenyataan media MN mahu menyatakan keprihatinan yang amat serius atas keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dalam penerbitan.
Selain itu, MN juga menggesa kerajaan merayu untuk membawa penghakiman ke Mahkamah Rayuan.
"Mesyuarat pada hari ini juga menggesa pihak kerajaan Persekutuan untuk mengambil inisiatif menyegerakan pelaksanaan pengharmonian sistem perundangan negara dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
-SuaraTV