Muhyiddin berjaya dapat kebenaran mahkamah halang Puad buat hantaran Facebook
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan injunksi sementara oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang menghalang ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi daripada menerusi catatannya di Facebook.
Sebelum ini, Mohd Puad menerima surat tuntutan daripada peguam Muhyiddin supya dia memohon maaf dan memadam posting di media sosial yang mendakwa layanan berbeza kepada rakyat berhubung prosedur operasi standard dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam menangani penularan Covid-19.
Catatan FB itu dimuat naik pada 9 Februari.
Peguam perdana menteri Rosli Dahlan memberitahu Malaysiakini bahawa hakim Mohd Firuz Jaffril hari ini membenarkan permohonan ex-parte plaintif bagi menghalang Mohd Puad daripada menerbitkan, menyiarkan, berkongsi, menerbitkan semula atau menyiarkan semula dan/atau berkongsi semula dalam apa cara sekalipun satu hantaran Facebook bertajuk "Kuarantin pun ada dua darjat".
Peguam itu menjelaskan bahawa saman fitnah utama telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur awal hari ini.
“Writ saman difailkan pagi ini dengan sijil perakuan segera untuk mendengar notis permohonan bagi injunksi sementara.
"Hakim Mahkamah Tinggi membenarkan injuksi sementara itu sementara menunggu perbicaraan inter-parte (antara pihak) yang ditetapkan pada 12 Mac,” kata Rosli.
Turut hadir adalah peguam DP Naban dan Louis Liaw, yang juga mewakili Muhyiddin.
Dalam notis permohonan ex-parte difailkan bersama dengan writ saman hari ini, Muhyiddin memohon perintah injunksi bagi menghalang Mohd Puad selaku defendan atau ejennya, wakilnya atau sesiapa sahaja daripada menerbitkan, menyiarkan dan berkongsi semula hantaran membabitkan kenyataan fitnah berhubung perkara itu menerusi akaun Facebook milik Mohd Puad.
Muhyiddin memfailkan permohonan atas alasan penghantaran yang dibuat oleh Mohd Puad adalah palsu, memfitnah dan telah menyebabkan reputasi dan nama baik perdana menteri itu di Malaysia dan peringkat antarabangsa terjejas.
"Saman telah difailkan (hari ini) dan dibenarkan (oleh hakim Firuz)," kata Rosli, sambil menambahkan bahawa perintah larangan itu diberikan setelah pendengaran permohonan injunksi awal hari ini.
Peguam itu menjelaskan bahawa perintah injunksi terhadap Mohd Puad akan berkuat kuasa hari ini sehingga 12 Mac, apabila mahkamah akan membicarakan permohonan injunksi Muhyiddin.
Sementara itu, Bernama melaporkan Muhyiddin memfailkan permohonan atas alasan penghantaran yang dibuat oleh Mohd Puad adalah palsu, memfitnah dan telah menyebabkan reputasi dan nama baik perdana menteri itu di Malaysia dan peringkat antarabangsa terjejas.
Katanya, permohonan itu perlu dibuat secara ex-parte kerana jika notis diberikan kepada defendan terdapat risiko bahawa defendan akan mensensasikan permohonan berkenaan menyebabkan pembaca akan berkongsi lanjutan hantaran tersebut.
Muhyiddin yang memfailkan writ saman dan penyataan tuntutannya menerusi Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership, atas kapasiti peribadinya hari ini mendakwa pada 9 Feb lepas, Mohd Puad telah menerbitkan suatu hantaran di laman Facebooknya di bawah nama "DrPuad Zarkashi" bertajuk 'Kuarantin pun ada dua darjat?'.
Dalam saman itu Muhyiddin yang merupakan plaintif mendakwa hantaran itu boleh diakses oleh pengguna internet di seluruh dunia dan telah menerima lebih daripada 1,200 reaksi, 215 komen serta 182 perkongsian.
Muhyiddin mendakwa hantaran itu merujuk kepada "PM" iaitu singkatan kepada prime minister atau perdana menteri selain mendakwa hantaran itu mengandungi penyataan yang jelas sekali tidak benar, tidak wajar, tidak berasas dan jahat terhadap plaintif serta telah memfitnahnya.
Muhyiddin mendakwa perkataan fitnah itu membawa maksud bahawa plaintif dan rombongan enggan dikuarantin selama 10 hari setelah mereka pulang dari lawatan rasmi ke Jakarta, Indonesia.
-MalaysiaKini