Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah berkata PAS berhasrat supaya diadakan persempadanan semula bagi menambah kawasan pilihan raya.
Jelasnya, cadangan itu sudah lama dilontarkan oleh PAS khususnya bagi menambah kerusi-kerusi majoriti Melayu iaitu sejak Dr Mahathir Mohamad menerajui negara pada zaman BN.
"Sebab pertama persempadanan semula kerana pertambahan pengundi terutama di sebelah Pantai Timur iaitu Kelantan dan sebahagiannya di Kedah, Pahang dan Terengganu.
"Satu kawasan parlimen itu, jumlah pengundinya sehingga 80,000 orang, jadi dari segi wakil rakyat nak menjaganya, menjadi satu beban. Biasa dalam 20,000 sehingga 30,000 orang dan paling ramai 40,000 pengundi.
"Jadi, sejak dulu lebih pada 10 tahun lepas lagi, kita sudah mencadangkan ketika pemerintahan Dr Mahathir supaya dibuat semakan dan persempadanan semula," katanya.
Timbalan menteri besar Kelantan itu berkata, PAS mencadangkan supaya ditambah kerusi di kawasan yang majoriti Melayu supaya mempunyai wakil rakyat Melayu lebih ramai di Parlimen.
"Cadangan ini kita dah buat lama, tetapi tidak pernah diambil kira kerajaan. Kita harap ia diberi pertimbangan sebab sekurang-kurangnya ia boleh menyeimbangkan kerusi (Melayu) di parlimen," katanya.
Terdahulu perkara itu dilontarkan ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr Khairuddin Aman Razali, yang menyatakan harapan agar Perikatan Nasional dapat memenangi dua pertiga majoriti pada PRU15.
Kemenangan besar itu katanya, akan membolehkan persempadanan semula kawasan pilihan raya dapat dilakukan.
-MalaysiaKini