"Saya lebih senior dari Zahid, jangan pertikai kesetiaan saya" -Annuar Musa
Bekas setiausaha agung Umno, Annuar Musa mengingatkan pengkritiknya agar tidak mempertikaikan kesetiaannya kepada parti itu hanya disebabkan pandangan yang berbeza dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
Malah kata Annuar, dia lebih senior berbanding Zahid dan telah mencurahkan banyak perkara untuk membela Umno.
“Tanpa takbur, tanpa riak, saya nyatakan, saya lebih senior daripada presiden Umno. Waktu saya menjadi ahli Majlis Tertinggi (MT) tahun 1990, presiden Umno belum menjadi ahli MT.
“Waktu saya menjadi anggota jemaah menteri dalam kabinet Dr Mahathir, presiden Umno belum menjadi ahli jemaah menteri.
“Jadi jangan pertikaikan soal kesetiaan saya. Cuma mungkin, pandangan saya atau pun strategi politik saya mungkin berbeza dengan presiden.
“Tapi belum tahu lagi, strategi siapa yang lebih ampuh bagi nak memenangkan parti kita,” katanya dalam wawancara Bicara Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 yang disiarkan di Facebooknya.
Kata Annuar, meskipun berselisih faham dalam parti, ia hanya melibatkan percanggahan pendapat semata-mata, dan bukan bermakna mereka bergaduh secara peribadi.
Katanya, baik dia mahupun Ahmad Zahid, kedua-duanya hanya menunjukkan rasa “sayang kepada parti” mengikut cara masing-masing.
'Tak perlu bersembunyi dengan saya'
Pun begitu, katanya, Ahmad Zahid tidak perlulah menyembunyikan perkara tertentu daripada pengetahuan ahli parti.
Ini termasuklah, katanya, sokongan yang diberikan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim menerusi sepucuk surat, yang menurutnya bukan surat palsu.
Selain itu, dia turut membangkitkan perhitungan yang turut melibatkan DAP termasuk di Perak, dipercayai merujuk pembentukan kerajaan negeri Perak baru Dis tahun lalu.
“Boleh bersembunyi dengan orang lain. Tapi tak usahlah bersembunyi dengan saya. Tak perlulah saya tampil ke hadapan, kerana itu tak manis untuk kita bertelagah sesama sendiri. Tetapi, yang penting, berkata benar. Jangan menafikan. Ada perjumpaan berunding dengan DAP, PKR.
“Tapi tak apa, sekurang-kurangnya hari ini, secara rasmi telah disebut, no DAP no PKR. Alhamdulillah, sependapat dengan saya.
“Dan tambah lagi hari ini, no Bersatu,” tambahnya.
-MalaysiaKini