"Saya tak pernah ponteng sidang Parlimen" kata Tim Menteri Wilayah setelah kantoi bercuti 55 hari ke luar negara
PETALING JAYA: Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Edmund Santhara Kumar menafikan dakwaan Ahli Parlimen Batu P Prabakaran bahawa beliau pergi ke New Zealand dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan tidak melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
Santhara berkata, langkahnya memohon cuti selama 55 hari bekerja dan pergi ke New Zealand selepas mendapat kelulusan Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 18 Dis, selain mematuhi prosedur ditetapkan Jabatan Imigresen (JIM).
“Tujuan saya keluar negara adalah bagi melawat anak-anak di New Zealand, khususnya anak yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang.
“Sebagai bapa bertanggungjawab, saya perlu bertemu dengan anak berusia 9 tahun sepanjang cuti rehat itu setelah hampir setahun tidak berjumpa.
“Saya juga perlu melawat isteri yang mengalami masalah kesihatan. Sebagai tambahan, upacara anak saya berumur 9 tahun menerima ‘Holy Communion’ tidak dapat dihadiri kerana sibuk dengan tugas sebagai timbalan menteri dan Ahli Parlimen,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, bekas perdana menteri Najib Razak menggesa Santhara menjelaskan laporan yang mendakwa beliau berada di New Zealand bersama keluarga sejak Dis 2020.
Najib berkata, perkara itu boleh mengundang kemarahan kepada kerajaan kerana “rakyat biasa” tidak boleh merentas negeri pada masa ini.
Beliau berkata demikian merujuk laporan sebuah portal dalam talian berhubung dakwaan bahawa Santhara berada di New Zealand bersama keluarga sejak Dis lalu.
Prabakaran juga mempersoalkan isu sama dan berkata, Santhara perlu memberi penjelasan segera.
Santhara berkata, tugas dan tanggungjawabnya sebagai timbalan menteri Wilayah Persekutuan dan Ahli Parlimen Segamat sentiasa menjadi keutamaan bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
“Saya hadir pada setiap hari persidangan Dewan Rakyat dengan rekod kehadiran 100%.
“Saya juga menghadiri persidangan Dewan Negara untuk penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 pada 22 Dis tahun lalu.
“Setelah dilantik sebagai timbalan menteri Wilayah Persekutuan bermula pada 10 Mac 2020, saya tidak pernah memohon cuti rehat, tidak pernah bercuti pada hujung minggu atau cuti peristiwa mahupun cuti perayaan, atau mendapatkan cuti sakit sepanjang tempoh tersebut,” katanya.
Katanya, ini bagi memastikan beliau dapat memberi khidmat terbaik kepada rakyat dalam mendepani setiap isu berkaitan pandemik Covid-19 dan isu lain sepanjang PKP dilaksanakan pada 2020.
“Saya ke luar negara sebelum PKP diumumkan semula, iaitu setelah menghadiri semua sidang Parlimen di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Saya juga tidak keluar dan masuk (ulang alik) ke Malaysia seperti yang dinyatakan secara fitnah oleh Prabakaran,” katanya.
Santhara berkata, beliau akan berbincang dengan peguamnya selepas kembali ke Malaysia, berkaitan tuduhan palsu dilemparkan terhadapnya, yang menjejaskan imej dan reputasinya sebagai seorang timbalan menteri dan Ahli Parlimen.
“Laporan polis juga akan dibuat terhadap pihak tidak bertanggungjawab kerana melemparkan tuduhan palsu dengan niat jahat dan mengelirukan rakyat,” katanya. -FMT