Tamparan hebat buat Shahidan, Pemuda UMNO Arau tolak kerjasama dengan Bersatu
ARAU: Selepas Kangar, Pemuda UMNO Arau pula tampil menyokong penuh keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu sebelum ini yang menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Keputusan tersebut sekali gus memberi tamparan kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri merangkap Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang sebelum ini menegaskan pendirian bahawa UMNO Perlis akan terus bekerjasama dengan Bersatu.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau, Syed Atif Syed Abu Bakar berkata, keputusan MKT UMNO mengumumkan penamatan kerjasama dengan Bersatu disifatkan cukup bijak dan kena pada masanya.
“Pemuda UMNO Arau menghayati sepenuhnya lafaz semangat yang dizahirkan oleh pemimpin-pemimpin tersebut sebaik sahaja UMNO dan Barisan Nasional (BN) tewas dalam PRU-14, bahawa UMNO akan bangkit kembali dengan lebih kuat dan bertenaga untuk menakhodai kepimpinan negara.
“Malah, UMNO akan membina kembali kemapanan dan daya saing ekonomi, mendengar rintihan dan mengembalikan inisiatif-inisiatif kebajikan kepada warga marhaen serta mempertahankan kedudukan Islam, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan hak keistimewaan Melayu yang banyak diremehkan selepas kekalahan BN dalam pilihan raya lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, UMNO Bahagian Kangar turut menetapkan pendirian sama untuk berpegang teguh dengan keputusan MKT parti itu sebelum ini bahawa tiada kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15.
Bagaimanapun sebelum itu, Shahidan menegaskan UMNO Perlis jelas dengan pendirian terus bekerjasama dengan parti-parti bumiputera termasuk Bersatu dalam menghadapi PRU-15.
Malah kata Shahidan, keputusan tersebut bukan disebabkan beliau semata-mata sebaliknya keputusan mesyuarat bahagian-bahagian di Perlis iaitu bekerjasama dengan semua parti-parti politik bumiputera.
Sementara itu, Syed Atif yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO turut menzahirkan rasa kesal dengan tindakan segelintir pimpinan parti yang berusaha mengenepikan keputusan MKT berhubung soal penamatan kerjasama dengan Bersatu.
Beliau juga menzahirkan rasa hairan apabila mereka tiba-tiba berubah nada daripada pendekar dan panglima yang meniup semangat keperwiraan kepada gerombolan laskar yang ingin menuntut bela terhadap pengecut kini menikus kepada pihak yang cuba meracun UMNO.
“Malah, golongan tersebut juga lantas mengisytiharkan kekalahan sebelum masuk ke medan pertempuran,” katanya.
– UTUSAN ONLINE