Tok Mat bayangkan Bersatu akan lembut hati dan bertanding sedikit sahaja di saat akhir
KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mendedahkan bahagian-bahagian UMNO masing-masing telah menolak untuk bekerjasama dengan Bersatu berikutan soal pembahagian kerusi pilihanraya.
Namun begitu beliau menasihatkan agar ahli UMNO berfikir panjang dan bertindak dengan bijak mengenai persaingan kerusi ini kerana beliau membayangkan kemungkinan Bersatu akan berlembut hati di saat-saat akhir.
Katanya, gelojak cemburu hati membangkitkan persaingan untuk berebut kerusi bertanding memandangkan masing-masing sudah nampak jalan untuk bertanding menjadi calon PRU-15.
“Kita berfikir biar panjang, bertindak biar bijak, fikir panjang-panjang sama ada buruk baiknya.
"Memanglah semangat dari bahagian-bahagian nak menolak kerana masing-masing cemburu hati sebab masing-masing dah nampak nak bertanding sebagai calon.
“Sebagai parti saya melihatnya daripada perspektif yang lain, sebagai pemimpin parti di atas bagi saya sengketa ini semata-mata disebabkan oleh cemburu hati tentang pembahagian kerusi.
“Mula-mula kata semua kerusi yang melompat itu kerusi kita, memang pun dalam pendirian kita siapa-siapa yang melompat, kerusi-kerusi daripada ahli Parlimen yang melompat keluar dari UMNO itu memang kita sebut kita akan jadikan sebagai kita punya kerusi.
“Tetapi kita boleh berunding tertakluk kepada formula-formula yang kita perlu pakai,” ujar Mohamad ketika di wawancara oleh UMNO Online.
Menurut beliau, Muafakat Nasional (MN) perlu diperkasakan.
Tidak menolak kemungkinan, Mohamad berkata, boleh jadi esok di saat-saat akhir kita berunding, Bersatu lembut hati.
“Mungkin Bersatu katakan tak apalah kami bertanding sedikit sahaja apa yang kami menang dan tambah sedikit apa salahnya?
“Dia (Bersatu) menang 13 kerusi, itu kerusi hak dia kerana saya gunakan formula mana-mana parti yang menang pada PRU-14 itu kerusi hak masing-masing macam UMNO menang masa itu 55 kerusi, jadi itu dah automatik kita punya walaupun ‘team 15’ sudah lari tetapi itulah kerusi kita.
“PAS menang 18 kerusi, Bersatu menang 13 itu kita punya formula pertama, maknanya kita dah ‘kunci’ 55 UMNO, 18 PAS Ddan 13 Bersatu,” jelas beliau.
Mohamad menambah, ada banyak kerusi lain lagi jadi apa formula kita nak pakai?
“Kita pakai formula sesiapa yang dapat tempat kedua undian terbanyak itu hak dia. Misalnya di kerusi Paroi, BN mendapat tempat kedua terbanyak maksudnya itu kerusi BN.
“Kalau di tempat mana PAS dapat tempat kedua terbanyak itu PAS punya kerusi. Begitu juga kalau tempat mana Bersatu dapat kedua terbanyak itu kerusi dia
“…Yang nak kita berebut-rebut sangat apahal? semua ini asas cemburu hati jadi cemburu hati ini tak boleh sangat. Cemburu hati kadang-kadang keluarga pun boleh berpecah, suami isteri boleh bercerai-berai,” ujarnya.
-SuaraTV