KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz akan mengemuka rayuan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) selepas keahliannya digantung selama enam tahun.
Tun Faisal berkata, beliau yakin terdapat kekhilafan dalam memutuskan penggantungannya, termasuk fakta kes yang tidak diteliti secara terperinci oleh MKT, sebelum mengesahkan keputusan yang dibuat Lembaga Disiplin UMNO.
"Saya sudah buat pembelaan yang baik berdasarkan fakta dengan kenyataan saya diambil di luar konteks. Dalam konteks aduan sendiri, ada kecacatan dan pengadu mempunyai motif.
"Berdasarkan surat (penggantungan) yang diterima malam tadi, MKT hanya mengesahkan keputusan dibuat Lembaga Disiplin pada 8 Mac lalu. Malangnya, waktu itu Lembaga Disiplin tidak maklumkan terus kepada saya dan semalam, MKT hanya mengesahkan saja.
"Saya tidak rasa MKT betul-betul membaca fakta kes saya dan ia hanya laporan serta kesimpulan Lembaga Disiplin. Sebagai ahli, saya berhak merayu dan akan mengemukakannya dalam tempoh dua hari," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (WTC KL) di sini, hari ini.
MKT dalam mesyuaratnya malam tadi memutuskan untuk menggantung keahlian Tun Faisal yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.
Pada 19 Februari lalu, Tun Faisal diminta mengemuka surat tunjuk sebab dan diarah hadir ke Tribunal Lembaga Disiplin UMNO, susulan kenyataan terbuka menentang Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Arahan untuk menghadiri tribunal pada 25 Februari lalu bagi menjawab tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadapnya, dimaklumkan menerusi panggilan telefon dan aplikasi WhatsApp oleh Sekretariat Lembaga Disiplin UMNO.
Tun Faisal berkata, beliau mendapat pendengaran yang baik di tribunal itu, namun selepas keputusan dibuat, fakta yang diberikannya tidak dipertimbang dengan baik.
"Saya akan merayu kepada MKT kerana saya rasa mereka (MKT) tidak diberi gambaran sebenar mengenai kes ini. Jika MKT teliti semula hujah saya, mereka boleh pertimbangkan rayuan dan batalkan hukuman yang dikenakan," katanya.
Ditanya sama ada keputusan penggantungan itu ada kaitan dengan Annuar yang dilihat turut lantang mengkritik kepemimpinan UMNO, Tun Faisal berkata, ada banyak spekulasi yang timbul, termasuk sebab MKT membuat keputusan disiplin pada Perhimpunan Agung UMNO serta tempoh penggantungan selama enam tahun yang disifatkan agak lama.
"Ramai membuat spekulasi yang ia ada kaitan, nak berikan tanda dan sedikit peringatan kepada ahli.
"Selain itu, kenapa penggantungan itu sampai enam tahun? Ada yang digantung atas kesalahan lebih berat, termasuk politik wang tetapi tidak sampai enam tahun," katanya.
-BeritaHarian