Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Tuntutan semula barang kemas, Rosmah, Najib dan tukang emas Lubnan dibenarkan buat pemeriksaan


KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor serta pemilik syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL dari Lubnan, Samer Halimeh akan memeriksa 11,991 unit barang kemas yang kini disimpan dalam lebih 90 buah kotak di dalam bilik kebal di Bank Negara Malaysia (BNM).

Barang kemas itu antara pelbagai barangan yang disita polis dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd di Pavilion Residences pada Mei 2018.

Hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin hari ini menetapkan 12 hingga 15 Julai atau 2 hingga 6 Ogos ini bagi pemeriksaan barang kemas oleh pihak ketiga dan pengurusan kes ditetapkan pada 1 Jun.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin berkata berdasarkan simulasi yang telah dilakukan antara pihak pendakwaan, BNM dan pegawai penyiasat kes, pemeriksaan ke atas 11,991 unit barang kemas itu akan mengambil masa antara empat hingga lima hari.

“Pemeriksaan bagi setiap kotak akan mengambil masa kira-kira 15 ke 20 minit, tetapi tempoh ini masih bergantung kepada cara pemeriksaan oleh pihak ketiga. Jadi dalam tempoh satu jam, kami menganggarkan lebih kurang empat kotak akan diperiksa.

“Bagaimanapun, pihak BNM menasihatkan pihak-pihak terlibat untuk tidak berada di dalam bilik kebal itu lebih daripada lima jam berikutan kandungan oksigen yang rendah. Berdasarkan kiraan kami, pemeriksaan barang kemas ini akan mengambil masa empat hingga lima hari dan ia hanya boleh dilakukan pada hari bekerja,” katanya pada prosiding pengurusan kes lucut hak terhadap Obyu Holdings hari ini.


Najib, Rosmah dan Global Royalty adalah pihak ketiga yang ingin menuntut barang kemas dalam permohonan lucut hak difailkan pendakwaan terhadap Obyu Holdings, yang dimiliki oleh Bustari Yusof.

Sementara itu, peguam David Gurupatham yang mewakili Global Royalty berkata Samer kini berada di United Kingdom dan pihaknya akan membuat permohonan pas khas untuk anak guamnya memasuki Malaysia bagi memeriksa barang kemas berkenaan.

“Buat masa sekarang, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai sekatan di mana negara yang mengalami kes Covid-19 tinggi tidak dibenarkan masuk ke negara kita. Namun, ada proses pas khas boleh dimohon sekiranya keadaan sesuai. Kami akan membuat permohonan pas khas berdasarkan kebenaran KKM,” katanya.

Faten Hadni pula berkata penilaian risiko perlu dibuat terhadap mana-mana individu untuk memasuki Malaysia dari United Kingdom dan pihaknya akan mengkaji dengan lebih lanjut prosedur berkenaan.


Dalam prosiding hari ini, peguam Syahirah Hanapiah dan Iskandar Shah Ibrahim mewakii Najib dan Rosmah.

Sebelum ini, pemeriksaan untuk barangan kemas itu belum dilakukan setelah Samer tidak dibenarkan memasuki negara ini berikutan sempadan negara ditutup susulan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, pada 25 Julai tahun lepas, Najib dan Rosmah telah memeriksa sebanyak 306 beg tangan, 401 jam tangan, 16 aksesori jam tangan dan 234 cermin mata yang turut disita dari premis sama.

Pada 2019, pihak pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings bagi menyita pelbagai barang termasuk 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.

Wang dan barang kemas itu dirampas oleh pihak berkuasa kerana didakwa oleh Kerajaan Pakatan Harapan yang lalu dimana ia terlibat dengan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

-FMT