UAE mahu belajar cara Malaysia bantu PKS ketika pandemik, kata Muhyiddin
ABU DHABI: Cara Malaysia membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ketika berhadapan pandemik COVID-19 mendapat perhatian kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
UAE tertarik dan berhasrat untuk belajar daripada kerajaan Malaysia mekanisme yang digunakan dalam membantu golongan berkenaan bangkit semula daripada krisis kesihatan itu.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dinyatakan Putera Mahkota, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan ketika beliau menerangkan cara Malaysia membantu golongan terkesan akibat pandemik.
“Saya ceritakan kita bantu PKS kita melalui pakej rangsangan. Baginda tertarik dan berkata mahu menghantar satu pasukan delegasi untuk melihat perkembangan PKS di Malaysia.
“Ia termasuk bentuk bantuan yang kita salurkan dan bagaimana ia digunakan. Ini akan dilakukan tidak lama lagi,” katanya pada sidang media selepas tamat lawatan rasmi di Abu Dhabi pada Khamis.
Perdana Menteri menutup tirai lawatan rasmi ke Asia Barat selepas bertemu beberapa pemimpin utama di UAE.
Pada Rabu pagi, Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan Sheikh Mohamed Zayed yang juga Timbalan Perdana Menteri UAE sebelum bertolak ke Dubai untuk bertemu rakan sejawatannya, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum.
Perdana Menteri turut menyaksikan tiga majlis menandatangai perjanjian persefahaman (MOU).
MOU pertama melibatkan penubuhan Kerjasama Diplomasi Keselamatan Makanan bagi meningkatkan usaha membangunkan ekosistem keselamatan makanan mapan dan anjal bagi memanfaatkan Program Keselamatan makanan Organisasi Kerjasama Islam (OIC).
Sementara MOU kedua pula melibatkan persetujuan mambangunkan kursi Sheikh Zayed Al Nahyan di institute Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) melibatkan ISIS dan Akademik Diplomatik Anwar Gargash (AGDA).
Kerjasama itu bakal meningkatkan pemahaman terhadap sumbangan Almarhum Sheikh Zayed Sultan Al Nahyan dalam membentuk dan membangunkan UAE selain mempromosikan keamanan, kestabilan dan toleransi di Asia Barat.
Bahkan, kerjasama berkenaan akan menyaksikan kedua pihak melaksanakan projek kajian, menyediakan khidmat nasihat serta panduan berkait kajian Asia Barat selain memudahkan urusan ahli akademi kedua negara
MOU yang sama juga bakal membolehkan pengwujudan khidmat nasihat berkaitan dasar untuk dipertimbangkan kerajaan kedua negara.
Manakala MOU ketiga pula menyaksikan kerjasama dalam bidang latihan diplomat antara Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) dan AGDA.
Latihan itu melibatkan hubungan antarabangsa, organisasi, perundangan, ekonomi, isu serantau dan sains politik.
Muhyiddin dan isteri, Puan Seri Norainee Abdul Rahman selamat berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada pukul 10.20 pagi waktu tempatan.
-Astro Awani