Wang tunai yang dirampas di kondo Pavillion tiada kaitan 1MDB
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu wang tunai berjumlah lebih RM114 juta dirampas polis di Pavilion Residences selepas pilihan raya umum 2018 tiada kaitan dengan 1MDB.
Peguam Hariharan Singh yang mewakili Umno dalam usahanya menuntut wang dirampas itu berkata, “tiada bukti langsung” bahawa wang itu datang dari akaun AmBank bekas presiden parti Najib Razak yang berakhir dengan 694.
Menurut pendakwaan, RM2.23 bilion yang masuk ke akaun 694 milik Najib pada 2013, adalah daripada 1MDB.
Mahkamah sebelum ini turut dimaklumkan, sejumlah RM2.03 bilion sudah dipulangkan kepada Tanore Corporation.
Pada prosiding lucut hak hari ini, Hariharan berkata pendakwa tidak membuktikan tuntutan lucut hak itu berdasarkan “imbangan kebarangkalian.”
“Ada kelompongan dalam kes pendakwaan apabila mereka turut gagal menunjukkan sebahagian wang berkenaan telah ditukar kepada mata wang asing,” katanya.
Kerajaan mahu melucut hak RM114,164,393.44 serta barang kemas dan barangan mewah dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd itu. Selain Umno, Najib juga membuat tuntutan pihak ketiga dalam permohonan lucut hak itu.
Hariharan berkata, wang tunai berkenaan derma politik milik Umno, dan Najib yang menguruskan dana parti ketika itu.
“Sebagai bekas presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional, beliau (Najib) perlu membiayai keseluruhan mekanisme untuk 222 kerusi Parlimen. Sebab itu ‘fleksibiliti’ wang tunai diperlukan.
“Dalam laporan polis dan afidavitnya, Najib mengesahkan wang itu dipegang secara amanah untuk Umno. Disebabkan itu kami mempunyai hak sahih dalam menuntut wang itu,” katanya.
Hariharan mempertikaikan dakwaan pihak pendakwa bahawa adik Najib, Nazir memainkan peranan dalam menunaikan RM20 juta daripada jumlah RM114 juta yang dipertikaikan itu.
“Versi pendakwaan adalah, Nazir menyerahkan wang tunai RM20 juta kepada abangnya. Ini bercanggah dengan kenyataan saksi Nazir sendiri kepada polis yang mengatakan beliau menyerahkan wang berkenaan kepada seseorang bernama Othman Razak,” katanya.
Timbalan pendakwa raya Mohd Saifuddin Hashim Musaimi berkata, pendakwaan memerlukan masa untuk menjawab hujana Hariharan.
Prosiding di depan Hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin bersambung pada 29 Mac.
-MalaysiaKini