Zuraida umum Shahidan jadi pengerusi baru PR1MA
Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim dilantik sebagai pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) berkuat kuasa serta-merta.
Perkara tersebut diumumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin pada satu sidang media hari ini.
Zuraida berkata pengalaman lima penggal sebagai wakil rakyat dan dalam tadbir urus yang ada pada Shahidan amat diperlukan untuk melonjakkan prestasi PR1MA.
"Pengalaman beliau sebagai menteri besar Perlis dan pernah bertugas sebagai menteri di jabatan perdana menteri, jadi ini adalah tempat yang betul untuk beliau menjadikan misi bagi menyediakan kediaman mampu milik di negara ini," katanya ketika mengadakan lawatan di ibu pejabat PR1MA di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau turut mengumumkan pelantikan Shahidan sebagai pengerusi Perbadanan Perumahan Malaysia.
Perbadanan itu ditubuhkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai entiti yang akan menyelaraskan kesemua agensi pembangunan perumahan dalam merancang pembinaan dan menyediakan pelan kewangan bagi Rumah Mampu Milik (RMM).
Projek PR1MA didapati menghadapi banyak masalah ketika di bawah Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.
Banyak aduan daripada pemilik PR1MA yang mengadu terpaksa membayar pinjaman walaupun rumah masih lagi belum siap dan juga pelbagai lagi masalah lain.
Namun kini diharap projek ini berjalan dengan cepat seperti yang dijadual.
- Bernama/TunCarlos