Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Annuar Musa nafi dah berkahwin dengan penyanyi Nora


PUTRAJAYA: Setiausaha Akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tun Faisal Ismail Aziz, menafikan dakwaan yang Annuar Musa sudah berkahwin dengan penyanyi Nora Ariffin atau lebih dikenali sebagai Nora.

Tun Faisal berkata, dakwaan itu adalah fitnah terbaru ditimbulkan pihak tertentu bagi memburukkan nama dan imej Ahli Parlimen Ketereh yang juga bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN).

“Ini adalah fitnah terbaru terhadap Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa. Perkara ini tidak benar. Alhamdulillah, ia telah dinafikan oleh keluarga Nora sendiri,” katanya kepada FMT.


Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan seorang pengguna Twitter dengan nama @zack_rockstar yang memuat naik satu hantaran mengucapkan tahniah, mendakwa Nora telah selamat bernikah dengan Annuar.

“Tahniah @AnnuarMusa kerana memiliki ‘Datuk’ yang istimewa. Dah berkepak-kepak kabom. Patut garang bebenor (sangat) sekarang. I like… hurmmm… Aummmm…!!!” demikian ciapan pengguna itu.

Perkara itu turut dinafikan anak sulung Nora, Mohamad Syakir Iman Johan, yang menegaskan ia adalah fitnah tidak berasas terhadap ibunya.

Syakir dalam satu hantaran di Twitter berkata, jika perkara itu benar, dia tidak fikir ia satu keperluan untuk dirinya berbohong atau menyembunyikannya daripada pengetahuan umum.

“Kepada semua peguam, adakah ini (dakwaan Nora bernikah) boleh dianggap satu fitnah? Saya baru bertanya kepada ahli keluarga saya.


“Jika pengguna (pemilik Twitter) tersebut menyatakan bahawa Tan Sri Annuar Musa telah berkahwin dengan Datuk Nora, sila kemukakan bukti atau memang kerja dia untuk cipta fitnah murahan,” tulis Syakir.

Syakir berkata, dia menyedari perkara itu tular di semua platform media sosial, namun bertegas menafikan pernikahan tidak wujud itu.

“Tidak mengapa kalau anda tidak mengenali siapa ibu saya. Tetapi mengapa perlu saya berbohong mengenai perkara tersebut? Ini (pernikahan Nora) memang tidak benar. YB Annuar bukan bapa tiri saya,” katanya.


Sementara itu, Nora menjelaskan gosip berhubung perkahwinannya dengan Menteri Wilayah Persekutuan adalah fitnah yang kelakar.

“Saya tiada akaun Twitter dan tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya. Bagaimanapun, selepas menerima pelbagai pertanyaan dan ucapan tahniah bertalu-talu, barulah saya tahu ciapan itu.

“Tidak tahu hendak komen apa kerana perkahwinan itu tidak pernah berlaku. Sejak pemergian suami, Allahyarham Johan Nawawi, empat tahun lalu, saya masih sendiri.

“Selain sibuk dengan kerjaya seni, saya mempromosikan pelbagai produk dalam akaun Instagram (IG). Kalau betul saya berkahwin dengan VVIP, tak perlulah saya nak susah payah buat semua kerja itu,” katanya menurut laporan Berita Harian.

-FMT