Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Bersabarlah, graduan harus bersyukur walaupun gaji rendah -Tok Pa


Golongan graduan perlu bersyukur sekiranya mendapat peluang pekerjaan walaupun bergaji rendah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed.

Menurutnya, pasaran dan permintaan tenaga buruh lemah kerana ekonomi menguncup sebanyak 5.6 peratus.

"Pasaran tenaga buruh, permintaan buruh dan permintaan tenaga kerja lemah kerena ekonomi kita menguncup 5.6 peratus. Itu pun, dengan ada langkah-langkah kerajaan, kalau tiada lagi teruk lagi.

"Jadi bagi saya para graduan dapat pekerjaan itu bersyukurlah kerana ramai lagi yang tiada kerja walaupun gaji tu mungkin rendah.


"Kena sabarlah dalam keadaan tahun lepas, yang harga (gaji) tu harga tahun lepas.

"Kita jangka tahun ini apabila ekonomi beransur pulih, mungkin gaji akan boleh naik," katanya pada sidang media ketika menghadiri Program Malaysia Prihatin peringkat Negeri Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kota Bharu, hari ini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas sejauh mana keyakinan kerajaan terhadap tahap permulaan gaji dalam kalangan graduan ketika pandemik Covid-19 masih menjadi ancaman terhadap sektor ekonomi.

Semalam, kerajaan menjangkakan gaji permulaan bagi siswazah yang memasuki pasaran pekerjaan akan lebih tinggi menjelang pertengahan tahun ini berikutan ekonomi dilihat semakin pulih dalam tiga ke empat bulan akan datang.


Mustapa bagaimanapun mengakui gaji diterima lulusan universiti tahun lepas jauh lebih rendah susulan penularan pandemik Covid-19 sehingga memberi kesan buruk kepada pertumbuhan ekonomi negara dan global.

Sementara itu, anggota parlimen Jeli itu berkata, kerajaan sudah menentukan gaji minima dan perkara lain akan bergantung kepada pasaran.

"Gaji tak boleh paksa, kita ada gaji (had) minima itu boleh paksa, gaji minima RM1,200 mengikut undang undang dan lain lain tertakluk kepada pasaran," katanya.