Iklan Judi Raya: Pengguna media sosial perlu lebih bertanggungjawab, kata SKMM
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meminta penyedia platform media seperti Facebook, Twitter dan YouTube menurunkan video yang mengajak umat Islam di negara ini berjudi bagi mendapatkan dana balik kampung sempena Aidilfitri.
Menerusi kenyataan hari ini, SKMM memaklumkan kandungan itu akan diturunkan mengikut terma perkhidmatan serta piawaian komuniti yang ditetapkan oleh penyedia platform media itu yang berpangkalan di luar negara.
Tular di laman sosial video iklan berdurasi dua minit yang dikeluarkan sebuah syarikat judi dengan kandungannya mengajak orang ramai meraih wang berganda dengan menggunakan perkhidmatan syarikat mereka sebagai dana untuk menyambut Aidilfitri.
SKMM berkata, pihak yang terlibat seperti produksi dan pelakon seharusnya lebih peka untuk tidak turut sama bersubahat dalam kegiatan mempromosikan judi dalam talian, yang jelas satu kesalahan.
“Penghasilan kandungan adalah tertakluk kepada Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia untuk dipatuhi oleh mereka yang terlibat dengan penghasilan dan pengedaran kandungan,” jelasnya.
Menurut SKMM, dalam kebebasan menyediakan kandungan, penyedia harus mengikuti kod kandungan yang sesuai dengan norma masyarakat Malaysia yang majmuk.
SKMM juga menegaskan perbuatan menyebarluaskan kandungan berkenaan hanya akan membantu secara langsung pihak yang terlibat dalam menyebarkan dakyah mereka mempromosikan perjudian dalam talian yang boleh memudaratkan masyarakat.
“Pengguna media sosial juga perlulah lebih bertanggungjawab dengan melaporkan perkara-perkara sebegini secara terus kepada pihak berkuasa untuk tindakan susulan mereka, bukan menyebarluaskan kandungan berkenaan,” katanya.
SKMM dalam pada itu menyatakan kegiatan judi dan promosi judi dalam talian tertakluk bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 iaitu bawah bidang kuasa polis.
Sejak 12 Mac, SKMM telah mengoperasikan tindakan sekatan secara laluan pantas (fast-track) dengan mengupayakan polis mengarahkan penyedia perkhidmatan Internet untuk menyekat akses ke laman sesawang yang melanggar peruntukan undang-undang bawah akta yang sama.
-FMT