J-Kom nafi bayar gaji RM15,000 sebulan kepada seorang cybertrooper UMNO mesra PPBM
Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) menafikan dakwaan agensi itu ada menggaji seorang individu dengan bayaran RM15,000 setiap bulan.
J-Kom turut menafikan lelaki yang membuat dakwaan dibayar sebanyak itu adalah kakitangan mereka, malah agensi berkenaan tidak terbabit dalam dalam video yang dimuat naik di suatu akaun Facebook pada 18 April lalu.
"Individu yang terlibat dalam video tersebut bukan kakitangan J-Kom dan input video tidak melibatkan J-Kom sama sekali.
"Tuduhan yang melulu dan tidak berasas merupakan tindakan yang tidak beretika dan tidak bertanggungjawab serta menimbulkan kekeliruan orang ramai," katanya.
Dalam klip video berdurasi satu minit yang ditularkan di media sosial semalam, seorang lelaki kelihatan dimarahi seorang lelaki lain.
Untuk menjelaskan keadaannya lelaki terbabit mendakwa dia perlu menjalankan tugasnya seperti yang dikehendaki kerana sudah dibayar oleh "J-Kom" sebanyak RM15,000.
"Aku ada kerja aku, yang aku perlu buat dalam J-Kom. RM15,000 aku dapat sebulan, aku kena buat kerja," katanya seperti yang kedengaran dari klip video tersebut.
Bagaimanapun, tidak diketahui secara jelas lokasi kejadian dan alasan di sebalik pertikaian itu.
Namun, seorang pengguna Twitter @PointMHD, yang berkongsi video tersebut mendakwa bahawa masalah itu tercetus apabila lelaki terbabit melabel anggota Pemuda Umno tertentu sebagai pengecut.
"Dia kata pemuda Umno tak ada telur. Jadi mereka (anggota pemuda Umno) serbu dia.
"Kemudian dia sahkan dia cakap macam itu sebab dia kena buat kerja dia untuk J-Kom," ciapnya.
J-Kom sebelum ini dikenali sebagai Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan berada di bawah Kementerian Komunikas dan Multimedia.
Ia pernah mencetuskan kontroversi kerana didakwa digunakan sebagai alat propaganda politik dan dicadangkan menerima peruntukan yang begitu besar dalam belanjawan lalu.
Bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah menjelaskan bahawa J-Kom kini bukanlah alat politik kerana semua program yang disusun akan melibatkan pelbagai kaum dan semua lapisan masyarakat.
Sementara itu, setiausaha akhbar Saifuddin memberitahu Malaysiakini dia akan memberitahu media sebaik sahaja laporan polis dibuat ke atas klip tersebut.
-MalaysiaKini