Manifesto PH pada Pru14 boleh dikaji dan dipromosi dalam kempen Pru15, kata MP Klang
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, menyeru supaya idea yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu dikaji semula, sambil berkata ia boleh dipromosikan dalam kempen pilihan raya berikutnya.
Dalam temu bual dengan FMT, beliau mengetengahkan idea “khemah besar”, di mana gabungan dasar parti politik berkepentingan akan berusaha untuk berkhidmat kepada seluruh rakyat dan bukan hanya kepada kumpulan kaum tertentu.
Beliau sedang memperkenalkan “gerakan berpusat pada rakyat” yang mengusahakan “pembangunan berpusat pada rakyat”.
“Idea khemah besar yang dikemukakan PH adalah sesuatu yang menarik,” katanya, menggambarkannya sebagai alat untuk mendorong pelajar, profesional, kesatuan sekerja, persatuan perniagaan dan kumpulan lain “mempromosikan idea bahawa perubahan yang kita cari ini adalah berpusatkan rakyat”.
Santiago, Ahli Parlimen DAP selama tiga penggal, berkata hala tuju yang diambil PH ketika ini menjadikan idea itu dapat dilaksanakan kerana “orang tua itu sudah tidak lagi duduk di sana”, katanya merujuk kepada Dr Mahathir Mohamad, yang membentuk parti sendiri dan bukan sebahagian daripada PH.
Lebih-lebih lagi, katanya, PH tidak mempunyai lokus kuasa yang dikendalikan oleh “panglima perang”.
Beliau mendakwa, kini wujud kumpulan ahli politik yang terlibat dalam “elite capture”, menyaksikan kumpulan berlainan memanipulasi kumpulan lain agar dapat berkuasa. “Satu kumpulan menentang kumpulan lain, kumpulan kedua menentang kumpulan ketiga dan seterusnya.”
Kumpulan-kumpulan ini mengabaikan “kemarahan luar biasa” yang telah mereka cetuskan, katanya, dan salah satu cara untuk mengalahkan mereka adalah dengan memasang khemah besar PH.
Menceritakan pengalaman PH sepanjang 22 bulan berkuasa, Santiago mengakui ramai marah dan kecewa kerana kegagalan menepati janji utamanya.
Katanya, kemarahan dan kekecewaan itu masih berlarutan.
“Saya akui, ia sentimen yang popular. Ia sepatutnya dilakukan dengan lebih baik lagi dan saya rasa sejak itu kita banyak belajar. Adil jika saya katakan bahawa, ia adalah kerajaan baharu, yang sebenarnya dirancang untuk dijatuhkan sejak PH berkuasa.”
Beliau mendakwa, ada orang dalam yang bersekongkol dengan orang luar untuk melaksanakan rancangan tersebut. “Dalam konteks inilah kegagalan kerajaan kita harus dilihat. Ia sebenarnya diatur. Anda dapat lihat sendiri mengapa ia tidak dapat menunaikan janjinya. ”
Katanya, Malaysia sangat memerlukan kekuatan warganegaranya untuk memastikan kerajaan bertanggungjawab.
“Itu yang anda perlukan. Ambil contoh Indonesia. Rakyatnya masih mempunyai kawalan terhadap kerajaan. Di sini, apa yang berlaku adalah sebaik pilihan raya selesai, orang akan berkata, ‘Baiklah, kami telah melaksanakanu tugas kami, kami telah memilih, kami telah meletakkan anda di sana. Sekarang buat kerja. ‘
“Dan orang ramai pulang ke rumah. Dan orang yang diberi tanggungjawab mencipta drama mereka sendiri. Dan kemudian rakyat mula mengeluh.”ujarnya