Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Neelofa terima Anugerah Tokoh Wanita Kelantan, pengurus maklum tak dapat hadir majlis


KOTA BHARU: Selebriti tersohor, Neelofa menjadi salah seorang daripada 14 tokoh wanita Kelantan yang menerima anugerah khas sempena sambutan Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) 2021 anjuran kerajaan negeri.

Malangnya, Neelofa yang baru melangsungkan perkahwinan di ibu negara Sabtu lalu tidak hadir untuk menerima pengiktirafan kerajaan negeri Kelantan kerana dikatakan masih berada di Langkawi.

Malah ketika nama pengacara dan ahli perniagaan itu diumumkan pengerusi majlis, tidak ada ahli keluarga atau individu tampil mewakili Neelofa untuk menerima anugerah terbabit bagi pihaknya.


Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor menerima Anugerah Sayyidina Juwairiyah Al-Harith bagi kategori Tokoh Pempengaruh Mega atau influencer.

Sementara itu, seorang lagi penerima, Andak Anjang, 44, dari Pos Tuel, Gua Musang sanggup datang jauh dari pedalaman untuk menerima pengiktirafan kerajaan negeri bagi kategori Tokoh Wanita Orang Asli.

Andak Anjang

Andak ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, beliau terharu dan bangga apabila dipilih sebagai salah seorang daripada 14 tokoh wanita yang menerima anugerah sempena sambutan HSK bagi tahun ini.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri Kelantan. Nama saya dicadangkan oleh Penghulu Orang Asli Kelantan kerana aktif mengadakan program dakwah bersama dengan penduduk Orang Asli di kampung kami.


“Saya juga ingin berterima kasih kepada suami, Abdul Razak Amat, 52 yang sentiasa menyokong aktiviti berdakwah kepada masyarakat kami,” katanya yang juga merupakan Ketua Wanita Orang Asli di Pos Tuel.

Majlis penyampaian anugerah terbabit serta perasmian HSK 2021 disempurnakan Timbalan Menteri Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd.Yusoff di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Setiap tokoh menerima sijil, plak, dinar emas dan kitab tafsir Al-Azhar selain hadiah iringan seperti kerongsang, selempang, hamper, persalinan batik dan sejambak bunga.


Sementara itu, pihak penganjur memberitahu, Neelofa tidak dapat hadir ke majlis itu, namun apabila diminta menamakan individu bagi mewakilinya untuk menerima anugerah, tiada sebarang respons diterima sehingga majlis tamat.

Pengurus Neelofa, Shawn Amer ketika ditanya perkara itu menerusi mesej Whatapps pula memberitahu dia tidak pasti tentang jemputan ke majlis HSK 2021, selain mempersoal motif wartawan meminta penjelasan pihak Neelofa serta melaporkan ketidakhadirannya ke majlis itu.

“Orang dah maklum tak dapat hadir, jadi?

“Why so important? Untuk memanaskan keadaan ke?” soal Shawn Amer.

-UTUSAN