Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Pasangan Instafamous dipenjara dan didenda, beri maklumat palsu rentas negeri


PETALING JAYA: Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM2,500 terhadap “Instafamous” dan suaminya selepas mengaku bersalah memberi maklumat palsu untuk mendapatkan kebenaran rentas negeri.

Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu selepas Iram Naz Hafiz Sabir Muhammed, 25, dan Azharique Shah Abdul Jalil, 23, mengaku bersalah terhadap tuduhan berkenaan.

Pasangan itu dituduh melakukan kesalahan di Balai Polis Wangsa Maju pada 2 petang, 15 Mac lalu, ketika memohon kebenaran rentas negeri bagi kawasan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) untuk ke Johor.


Kedua-duanya didakwa memberi maklumat palsu secara bertulis kepada Ketua Balai Polis, Fairul Nizam Anuar dan didakwa mengikut Seksyen 22(D) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Wong berkata perbuatan tertuduh memberi contoh buruk kepada masyarakat yang mana tidak dibenarkan melakukan rentas negeri dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Tempahan tempat penginapan tidak dapat dibatalkan dan wang tidak dikembali bukan satu alasan untuk merentas negeri,” katanya sebelum membacakan hukuman ke atas pasangan itu, menurut laporan Harian Metro.

Iram Naz merayu mahkamah tidak mengenakan hukuman penjara, mengambil kira dia wakil tunggal yang menyara keluarga dan berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan sama.

“Kami membuat tempahan hotel pada 26 Disember lalu ketika rentas negeri dibenarkan untuk menyambut ulang tahun perkahwinan namun ditunda beberapa kali.


“Kami cuba membatalkannya, namun pihak terbabit tidak mahu kembalikan wang tempahan penginapan menyebabkan kami meneruskan hasrat (dengan) merentas negeri pada 17 Mac lalu,” katanya.

Bulan lalu, tular di media sosial apabila selebriti itu memuat naik “Instastory” menyatakan beliau memujuk polis untuk melakukan aktiviti rentas negeri sehingga menimbulkan kemarahan dan kecaman warganet.