Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Pemuda UMNO Arau sambut baik keputusan Zahid gugurkan Shahidan


ARAU : Ketika UMNO Bahagian Arau menolak keras penyingkiran Datuk Seri Shahidan Kassim, berbeza pula dengan sayap parti itu di bahagian berkenaan yang menyambut baik pelantikan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang baharu.

Bagi Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Arau, pelantikan Azlan diharap dapat membuka lembaran baharu dalam lapangan politik negeri ini, khususnya di peringkat Badan Perhubungan UMNO Perlis.

Ketuanya, Syed Atif Syed Abu Bakar berkata, pelantikan tersebut diharap dapat memantapkan penyelarasan gerak kerja politik dan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) di negeri ini selepas sekian lama berada dalam dilema berikutan wujudnya dua nakhoda yang mengemudi sebuah kapal.


“Pergerakan Pemuda Arau juga menyanjung tinggi komitmen dan kesungguhan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam membawa pembaharuan yang positif untuk mempersiapkan parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Dalam suasana politik dan ekonomi negara yang semakin goyah disebabkan keangkuhan, penting diri dan ketidakpedulian kerajaan hari ini, ketegasan pucuk pimpinan dalam percaturan bagi mengelakkan risiko kebocoran maklumat dan strategi parti amatlah bertepatan,” katanya di sini hari ini.

Ahmad Zahid dalam satu kenyataan semalam mengumumkan penyingkiran Shahidan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis dan digantikan dengan Azlan.

Manakala Azlan ketika memberi reaksi pelantikan tersebut ketika dihubungi Utusan Malaysia selepas itu, mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Ahmad Zahid kerana memberi kepercayaan serta keyakinan kepada beliau mengetuai UMNO Perlis.


Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zahidi Zainul Abidin pula menegaskan bahawa UMNO Bahagian Padang Besar dan Arau menolak keras pelantikan Azlan selain menyifatkan Menteri Besar itu tidak layak sama sekali mengetuai UMNO Perlis.

Sementara itu, Syed Atif merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Shahidan yang telah menabur khidmat bakti memimpin UMNO Perlis dalam tempoh yang begitu lama iaitu lebih 20 tahun.

Dalam masa sama, beliau juga berharap Shahidan dapat terus memberikan sokongan dan kerjasama yang membina serta tidak berbelah-bahagi untuk membantu memperkukuhkan parti selain menghormati keputusan-keputusan rasmi parti.


“Penghargaan ini bukanlah jalan sehala kerana teramat banyak juga jasa bakti parti UMNO ini (serta ahli-ahlinya) yang seharusnya dihargai dan dikenang dengan sebaik-baiknya. Resmi berjuang dan berorganisasi, ada masanya kita disokong dan ada masanya kita perlu menyokong,” katanya.

Seterusnya Syed Atif berharap seluruh ahli-ahli dan penyokong UMNO di negeri ini terus istiqamah dalam perjuangan serta bersiap-sedia untuk mengharungi lembaran baharu perjuangan.

“UMNO Perlis tidak ketandusan pemimpin dan setiap pemimpin tentunya mempunyai corak kepimpinan yang tersendiri. Justeru, sebagai sebuah parti besar yang dominan, UMNO Perlis tidak boleh bersikap statik dan selama-lamanya hanya bergantung kepada seorang individu untuk memimpin dan seolah-olah orang lain semuanya tidak layak,” katanya.

-UTUSAN ONLINE