Kenyataan anggota PKR bernama Iswardy Morni, yang kini disiasat kerana didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, sama sekali tidak mewakili pendirian parti itu, kata pengarah komunikasinya Fahmi Fadzil.
Fahmi mengesahkan Iswardy sebagai anggota PKR yang berdaftar di cabang Petra Jaya, Sarawak tetapi menegaskan dia tidak memegang sebarang jawatan sama ada di peringkat negeri mahupun pusat.
"Kenyataan dia tidak sama sekali mewakili pendirian PKR, sebuah parti yang menjunjung dan mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu seperti tercatat dalam perlembagaan parti.
"Ucapannya di dalam video-video sebelum ini pernah dibangkit dan dibincang di dalam Biro Politik PKR, dan keputusan telah diambil seawal April lalu dengan memberi amaran keras kepadanya," kata Fahmi dalam kenyataan.
Iswardy Morni |
Semalam, Iswardy memberitahu Malaysiakini yang polis telah menahannya di rumah untuk membantu siasatan berhubung video yang dimuatnaiknya, yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong.
Menurutnya, dia dijangka dibawa ke balai polis Dang Wangi tetapi selepas itu tidak lagi membalas pesanan teks.
Malaysiakini sedang berusaha membuat pengesahan dengan polis berhubung penahanannya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata PKR tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas, termasuk melucutkan keanggotaannya, jika dia terus melakukan perbuatan yang sama.
"Namun, oleh kerana isu video Iswardy telah menjadi kes siasatan polis, PKR akan menunggu hasil siasatan sebelum mengambil tindakan lanjut terhadapnya," katanya lagi.
-MalaysiaKini