JAWA: Seorang pengemis dari Kota Batu, Jawa Timur mampu meraih pendapatan sebanyak 18 juta rupiah (RM5,200) sebulan sehingga mampu membina sebuah rumah serta memiliki motosikal.
Lapor Tribunnews, pengemis yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) itu mampu meraih 600,000 rupiah (RM173) sehari dan sering mengemis di depan Pom Bensin, Jalan Pangeran Diponegoro.
Lelaki itu malah memberitahu mampu mendapat sejuta rupiah (RM290) sehari sekiranya kawasan itu dikunjungi ramai orang.
Sebaliknya, jika kawasan itu sepi dan lengang daripada orang ramai, dia mampu meraih 300,000 rupiah (RM86) dalam sehari.
Dia yang menggunakan kakinya untuk makan dan minum, sering dibantu oleh seorang rakan yang akan menjemput dan menghantarnya pulang ke rumah sewanya.
Lelaki itu mampu menyewa bilik sebanyak 500,000 rupiah sebulan (RM144).
“Saya sudah lima tahun di Kota Batu. Saya mengemis di Karangploso tetapi hasilnya sedikit sebelum berpindah ke Kota Batu.
“Daripada aktiviti mengemis itu, saya mampu membina sebuah rumah di kampung halaman dan memiliki sebuah motosikal yang dibawa oleh orang lain untuk menjemput saya,” katanya.
-UTUSAN