Kementerian Kesihatan (KKM) berpandangan perintah kawalan pergerakan (PKP) secara sepenuhnya mungkin perlu dilakukan di Selangor, dengan mengambil kira jumlah kes Covid-19 yang tinggi di negeri itu.
Menterinya Dr Adham Baba berkata, ada keperluan untuk mencadangkan kawalan pergerakan yang lebih ketat kepada kerajaan memandangkan PKP yang dikuatkuasakan pada masa ini dilihat tidak berupaya mengekang penularan wabak.
"Pada peringkat awal, PKP di Selangor melibatkan enam daerah, tapi kemudian diperluaskan di seluruh negara. Ia melarang (pergerakan) rentas daerah.
"PKP membolehkan KKM membuat lebih banyak ujian dan pengesanan (kontak), serta kerjasama dengan kerajaan negeri yang mengadakan ujian RTK Antigen di kawasan dengan penularan yang tinggi dan percepatkan pengesanan kontak," katanya ketika menjawab soalan pemberita berhubung keperluan kawalan pergerakan lebih ketat di Selangor.
Adham berkata, penguatkuasaan PKP telah memberi ruang kepada pihak berkuasa kesihatan melaksanakan langkah kesihatan awam untuk mencegah penularan.
"(Namun) Saya setuju kita perlu cadangkan kepada kerajaan prosedur operasi standard (SOP) dan PKP yang lebih ketat, selepas melihat ketidakupayaan (pendekatan semasa) untuk mengekang (penularan).
"Pelaksanaan PKP secara penuh adalah satu perkara yang boleh dipertimbangkan," katanya lagi, ketika sidang media secara dalam talian hari ini.
Pada masa ini, Selangor terus mencatatkan jumlah kes baru yang tinggi walaupun setelah penguatkuasaan PKP di seluruh negara sejak 12 Mei lalu.
-MalaysiaKini