Perbicaraan kes dakwaan rasuah 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang membabitkan Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terpaksa ditangguhkan sekali lagi akibat Covid-19.
Ini kerana seorang peguam dalam pasukan guaman bekas perdana menteri itu dilaporkan mempunyai hubungan rapat dengan seorang pesakit yang positif koronavirus.
Perbicaraan, yang dijadualkan bersambung hari ini hingga hari Rabu, telah ditangguhkan. Ia akan bersambung pada 17 Mei.
Atas alasan yang sama, rayuan berasingan Najib untuk membatalkan keputusan bersalahnya dalam kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta, yang ditetapkan pada Khamis ini, juga telah ditunda.
Ini bukan kali pertama Covid-19 menyebabkan perbicaraan 1MDB Najib terpaksa ditangguh, dengan alasan serupa yang berlaku pada awal tahun lalu dan awal tahun ini.
Peguam pembelaan utama Muhammad Shafee Abdullah mengesahkan bahawa perbicaraan 1MDB untuk minggu ini telah ditangguhkan kerana keseluruhan pasukannya sedang menjalani perintah kuarantin.
"(Perbicaraan 1MDB hari ini hingga Rabu minggu ini telah) ditangguhkan.
"Kontak rapat. Jadi pasukan (peguam Najib) terjejas," kata peguam itu ketika dihubungi oleh media.
-MalaysiaKini