Penerbangan dari India tiada penumpang, hanya kargo -Menteri
Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, empat penerbangan Malaysian Airlines dari India yang mendarat di negara ini ketika larangan perjalanan berkuat kuasa sebenarnya tidak membawa penumpang.
Sebaliknya Wee menjelaskan pesawat tersebut digunakan untuk membawa muatan memandangkan hanya penerbangan kargo yang dibenarkan buat masa ini.
Selain itu katanya anak kapal juga tidak dibenarkan turun dari pesawat terbabit.
Presiden MCA itu berkata demikian ketika mengulas dakwaan tular di media sosial yang menggesa supaya kerajaan perlu menguatkuasakan larangan perjalanan dari India.
Larangan penerbangan dari India dikenakan pada 28 April selepas negara itu mencatat kes baru Covid-19 harian tertinggi di dunia dengan lebih dari 300,000 orang sehari didorong oleh varian B1.167 yang lebih berbahaya.
“Penerbangan pesawat penumpang juga kosong dan digunakan untuk membawa muatan yang kebanyakannya adalah barangan farmasi, ubat-ubatan, telefon bimbit, komponen elektrik dan bungkusan kurier,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Penerbangan yang terlibat merupakan MH191 dari New Delhi, MH193 dari Bengaluru, MH195 dari Mumbai, dan MH181 dari Chennai.
“Mengubah penerbangan penumpang kepada kargo bukanlah sesuatu yang baru (P2C penumpang-ke-kargo) dan dipraktikkan Malaysia Airlines Berhad (MAB) selama berbulan-bulan sebelum ini susulan berlakunya pandemik Covid-19.
“Pihak berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), MAS Kargo di bawah kendalian MAB dan Suruhanjaya Penerbangan Awam (Mavcom) juga telah mengesahkan fakta ini," katanya.
Mesej tular itu tersebar semalam ketika Kementerian Kesihatan mengesahkan kes pertama Covid-19 yang melibatkan varian India B.1.167 dikesan di negara ini.
Wee menjelaskan bahawa kes itu dikesan sebelum larangan penerbangan dari India dikenakan.
“Semakan dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah juga mengesahkan bahawa kes seorang pemegang pas pekerja asing warga India yang memasuki Malaysia adalah berlaku lebih awal iaitu pada 10 April.
“Pelancong bukan Malaysia dari India tidak dibenarkan memasuki atau transit di Malaysia pada masa ini.
“Bagaimanapun pengecualian akan dibuat untuk warganegara Malaysia yang memasuki Malaysia dari India tanpa melalui imigresen dan kastam,” katanya.
Pun begitu kata Wee mereka mesti menjalani tempoh pengasingan selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan.
-MalaysiaKini