PKP seluruh negara: 11 perkara penting rakyat perlu tahu
KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan mula berkuat kuasa pada 12 Mei ini, sehingga 7 Jun seperti yang diumum Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Berikut antara perincian berkenaan PKP tersebut:
1. Larangan rentas daerah dan rentas negeri kecuali untuk tujuan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, temu janji vaksinasi dan pasangan jarak jauh;
2. Melarang SEMUA bentuk perhimpunan sosial termasuk kendurikendara, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis doa selamat dan tahlil, majlis makan malam, majlis sambutan hari jadi serta majlis-majlis rasmi kerajaan dan swasta. Sebarang bentuk seminar, persidangan dan mesyuarat secara bersemuka adalah tidak dibenarkan. Majlis akad nikah adalah dibenarkan dengan jumlah kehadiran dan SOP yang ditentukan oleh pihak berkuasa agama Islam negeri bagi orang Islam dan Jabatan Pendaftaran Negara bagi orang bukan Islam;
3. Melarang semua aktiviti sukan dan rekreasi kecuali sukan dan rekreasi individu di kawasan terbuka seperti jogging, berbasikal dan senaman dengan mengamalkan penjarakan fizikal;
4. Semua institusi pendidikan ditutup. Pengecualian diberikan kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan antarabangsa. Pusat Asuhan Kanak-kanak, tabika, taska dan tadika dibenarkan beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan bagi membantu urusan kerja ibu bapa atau penjaga;
5. Bilangan orang di dalam kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing dihadkan kepada TIGA ORANG SAHAJA termasuk pemandu. Bilangan orang yang dibenarkan di dalam kenderaan membawa barangan serta rantaian aktiviti ekonomi/industri adalah bergantung kepada jumlah yang dibenarkan dalam lesen pendaftaran kenderaan perdagangan. Bilangan orang yang dibenarkan di dalam pengangkutan awam mestilah mematuhi penjarakan fizikal dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
6. Dine-in di restoran dan kedai makan adalah TIDAK DIBENARKAN. Penjualan makanan secara pandu lalu dan take-away adalah dibenarkan;
7. Majikan DIWAJIBKAN melaksanakan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) dengan kehadiran tidak lebih 30 peratus kakitangan pengurusan pada setiap masa. BDR sektor awam ditentukan oleh garis panduan yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara dari semasa ke semasa; dan
8. Ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah TIDAK DIBENARKAN.
9. Solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dibenarkan dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 50 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah dan 20 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan kurang daripada 1,000 jemaah. Had bilangan jemaah yang sama terpakai bagi solat fardu lima waktu dan solat Jumaat.
10. Operasi Rumah Ibadah Bukan Islam juga akan diperketatkan. SOP bagi Rumah Ibadah Bukan Islam ditetapkan oleh Kementerian Perpaduan;
11. Langkah-langkah khusus yang sedang dilaksanakan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan diteruskan.
-AstroAwani