Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Syed Saddiq disiasat isu kematian tahanan polis


Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini mengatakan bahawa dia sedang disiasat polis berhubung kenyataannya dalam sebuah klip video mendesak keadilan untuk mendiang A Ganapathy, yang meninggal ketika dirawat di hospital setelah ditangkap pada bulan Februari.

Melalui ciapan di Twitter, Syed Saddiq mempersoalkan keperluan polis melancarkan siasatan terhadapnya, tetapi berjanji bahawa dia akan memberikan kerjasama sepenuhnya.

"Semalam, saya diberitahu oleh polis bahawa saya sedang disiasat untuk video yang saya siarkan menuntut keadilan bagi mendiang Ganapathy yang ditemui mati dalam tahanan polis.

"Saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis. Mereka bukan musuh saya. Mereka adalah rakan saya, mereka adalah rakan sekerja saya.


"(Hanya) mereka yang tidak menghormati aturan undang-undang yang saya tentang dengan tegas," katanya dalam klip video pendek yang disiarkan di akaun Twitternya petang ini.

Dilaporkan bahawa Ganapathy ditangkap pada 24 Februari untuk membantu siasatan berhubung adiknya yang dikehendaki oleh polis.

Pada 11 Mac, ibu mendiang, S Thanaletchumy, 60, membuat laporan di ibu pejabat polis daerah Gombak mendakwa bahawa anaknya dipukul ketika dalam tahanan.

Dia berkata dia telah dihubungi oleh seorang polis pada 8 Mac, yang memaklumkan bahawa anaknya telah dibebaskan dan dirawat di unit rawatan intensif Hospital Selayang.

Ganapathy meninggal dunia di hospital pada 18 April.


Berikutan itu, pada 28 April Syed Saddiq menyiarkan video di Twitter, di mana dia membangkitkan isu mengenai kematian dalam tahanan dan menuntut keadilan untuk Ganapathy.

Syed Saddiq dalam ciapan di Twitter hari ini juga membangkitkan isu kematian dalam tahanan lain yang dilaporkan berlaku semalam di balai polis yang sama di Gombak.

"Pada hari saya diberitahu bahawa saya sedang disiasat polis, hari yang sama negara dikejutkan kematian dalam tahanan polis yang tragik.


"Keadilan untuk saudara (S) Sivabalan (seorang pengawal keselamatan). Apa yang membuat kematian Sivabalan lebih tragik adalah bahawa ia berlaku di balai polis yang sama dengan mendiang Ganapathy.

"Ini tidak dapat ditolak ansur. Mengapa menyiasat seorang anggota parlimen yang menjalankan tugas asasnya menuntut keadilan dan mempertahankan kedaulatan undang-undang?" katanya.

Dua wartawan Malaysiakini sebelum ini turut dipanggil untuk disoal siasat oleh polis awal minggu ini mengenai tiga artikel yang diterbitkan mengenai kematian Ganapathy.

Seorang wartawan Malaysiakini yang lain juga dipanggil untuk memberikan keterangannya tetapi pada masa ini tidak dapat hadir kerana perintah kuarantin Covid-19.


-MalaysiaKini