Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Aiman tak sangka mampu raih RM20,000 sehari jual durian ketika PKP


MELAKA – Seorang peniaga durian di Kampung Padang, Bukit Lintang, di sini mampu meraih jualan mencecah RM20,000 sehari meskipun pada pelaksanaan kawalan pergerakan penuh.

Menurut peniaga muda, Muhammad Aiman Mohd. Nasri, 22, dia terpaksa berulang-alik ke Bukit Pasir, Johor hampir setiap hari bagi mengambil bekalan 1,500 kilogram durian susulan menerima permintaan tinggi daripada pelanggan.

Katanya, kebiasaannya bekalan yang diambil dari negeri jiran itu ‘licin’ dalam tempoh kurang tujuh jam kerana turut menyediakan khidmat penghantaran tunai ketika serahan (COD) meliputi kawasan dalam daerah Me­laka Tengah.


“Setiap hari saya akan mengambil bekalan durian sebanyak 1,500 kilogram di Bukit Pasir kerana kebiasaanya memang buah ini laris terjual de­ngan hasil jualan kasar mencecah RM20,000 sehari.

“Dengan bantuan rakan-rakan yang berniaga bersama di kedai ini, kami juga bergilir-gilir membuat COD melibatkan penghantaran ke 20 buah rumah pelanggan dengan anggaran berat mence­cah 70 kilogram, setiap hari.

“Kami menerima pesanan pembelian serendah RM50 dan tidak kurang juga yang membeli sehingga RM300,” katanya ketika ditemui di gerainya di Bukit Lintang, di sini semalam.

Tambahnya, antara jenis durian yang ditawarkan adalah Udang Merah pada harga RM18 sekilogram, Musang King (RM35 sekilogram), durian kampung (RM13 sekilogram), IOI (RM20 sekilogram) dan durian kahwin (RM16 sekilogram).

“Sebelum membuat penghantaran, kami akan belah dahulu durian dan akan menghantar gambar isi dalam, sekiranya pe­langgan berpuas hati, barulah urusan pembelian diteruskan,” katanya.


Mengulas lanjut dakwaan segelintir peniaga durian menanggung lambakan kerana pelaksanaan sekatan pergerakan penuh, Muhammad Aiman sama sekali menjalani pengalaman yang berbeza, malah sebaliknya dia ‘tidak menang tangan’ untuk memenuhi permintaan pelanggan.

“Sekarang ini kita kena faham pelanggan tidak boleh bergerak melebihi jarak 10 kilometer, jadi kerana itulah kami sediakan perkhidmatan penghantaran COD dengan caj yang sangat berpatutan bermula pukul 2 petang hingga 6 petang.

“Selain itu, kami sentiasa membuat promosi secara percuma menggunakan platform Facebook. Dengan harga yang berpatutan dan kualiti terjaga, kami tidak pernah berdepan dengan isu kerugian kerana buah durian ini memang digemari ramai,” katanya.

Katanya, penggemar durian di sekitar Melaka Tengah yang berminat untuk membuat pesanan secara COD boleh membuat tempahan menerusi akaun Facebook, Melaka Aiman Durian.


-Kosmo