Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

AS mula campur tangan isu pesawat China ceroboh Malaysia


SYDNEY: Komander Angkatan Udara Pasifik Amerika Syarikat (AS) mengecam insiden pesawat tentera China yang terbang menghampiri Malaysia dan Taiwan, sekali gus menyifatkannya sebagai langkah yang menimbulkan “ketegangan” dan mencetuskan “ketidakstabilan”.

Minggu ini, 16 pesawat tentera China terbang di perairan Borneo sehingga menyebabkan tentera udara Malaysia bertindak menghantar pesawat pemintas.

Jeneral Kenneth Wilsbach berkata, aktiviti sedemikian dan peningkatan bilangan penerobosan zon pertahanan udara Taiwan “menambah jumlah aktiviti yang menimbulkan ketidakstabilan dan ketegangan” oleh China di rantau tersebut.


“Kita menganggap diri kita tersalah kiraan di rantau ini apabila kita melakukan aktiviti sedemikian dan apabila kita memasuki ruang udara negara lain yang sepatutnya tidak dilakukan,” kata Wilsbach.

Beijing mendakwa Taiwan adalah sebahagian daripada China dan menegaskan bahawa pesawat mereka yang terbang di Laut China Selatan menjalani latihan rutin dan tidak memasuki ruang udara wilayah Malaysia.

Beijing mengetepikan keputusan tribunal antarabangsa pada 2016 yang mengisytiharkan tuntutan negara itu ke atas hampir seluruh Laut China Selatan tidak berasas.

Wujud kebimbangan bahawa dengan kedudukan tenteranya yang semakin kuat China mungkin berusaha merebut kembali Taiwan secara paksa.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, tempo penerbangan China melintasi selat itu meningkat secara mendadak, sekali gus mengasak kemampuan pertahanan udara Taiwan.


“Saya percaya ini adalah strategi China untuk menambah kos tentera udara Taiwan,” kata Wilsbach, iaitu dengan memaksa tentera Taiwan bertindak balas setiap kali berlakunya pencerobohan.

Mendepani kemampuan ketenteraan China yang semakin meningkat, beliau juga berkata, angkatan udara AS mungkin merombak aset miliknya di sekitar rantau itu dan menempatkannya jauh dari pangkalan besar, bagi menjadikannya sasaran yang lebih sukar.

“Kami melihat setiap perkara di rantau ini dan telah menganalisisnya serta menilai kemungkinan menggunakannya sebagai tempat operasi.

“Kami mempunyai pangkalan data maklumat mengenai setiap lapangan terbang, dan banyak daripadanya tidak sesuai untuk keperluan kami, tetapi banyak juga yang memenuhi keperluan,” katanya.