Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Bekas askar Pengaman PBB tinggal bawah jambatan bersama keluarga kini dipindahkan

gambar: MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengambil inisiatif memindahkan tujuh beranak yang tinggal di bawah jambatan Loke Yew di sini ke rumah transit di Flat Sri Johor, Cheras dengan serta-merta.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, Suria Mohamad Hassan, 59, dan Azariyah Abd Aziz, 43, bersama lima anak mereka akan ditempatkan di rumah itu selama seminggu.

Jelas beliau, selepas ini pihaknya akan berurusan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi mendapatkan rumah yang selesa untuk diduduki dan bantuan kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).


“Kalau kita tengok rumah keluarga ini, kita tidak sangka kerana kita berada di bandar raya Kuala Lumpur.

“Kita bukan sebut di pendalaman apabila masak pakai dapur kayu dan tidak ada elektrik untuk guna periuk nasi.

“Jadi sekurang-kurangnya kita dapat bantu mereka dengan sumbangan diberikan dan tidak mahu pasangan suami ini berputus asa dalam hidup.

“Kita faham pengalaman mereka sejak setahun lebih ini amat memeritkan namun berharap masih ada masa depan lebih cerah untuk mereka sekeluarga apabila bantuan kaunseling juga akan disediakan,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ihsan di rumah keluarga Suria di bawah jambatan Loke Yew di sini hari ini.

Semalam, portal MalaysiaGazette mendedahkan kehidupan Suria bersama keluarga di bawah jambatan sejak November 2019.



Bekas pesara tentera itu yang bekerja sebagai penjual buah sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 tinggal di Flat Sri Sabah bersama keluarga mertua.

Namun gara-gara jumlah penghuni yang ramai di situ melebihi 13 orang, memaksa dia membawa isteri dan anak-anak tinggal di bawah jambatan.

Mengulas lanjut, Rina menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan nasib kanak-kanak walaupun mereka datang daripada keluarga susah.


Jelas beliau, kemiskinan bukan untuk diwarisi dan perlu melihat kepada masa depan anak-anak.

“Macam anak-anak Suria ini, mereka nampak bijak. Ini yang perlu kita jaga agar satu hari nanti daripada mereka datang atau keadaan semasa kecil, kita berharap mereka menjadi manusia berguna di dunia dan akhirat,” katanya.

Rina juga memberitahu keluarga itu tidak memiliki rekod permohonan di JKM dan sebelum ini mendapat bantuan Jabatan Hal Ehwal Veteran Tentera.

Suria dan Azariyah berkahwin pada tahun 2012, yang mana ia adalah perkahwinan kedua buat mereka dan dikurniakan empat anak iaitu Saidatina Nurain, 9, Shahwal Wafi, 7, Aishah, 5, dan Mawar, 3.

Seorang lagi anak yang tinggal bersama adalah hasil perkahwinan pertama Azariyah.


Ketika dalam perkhidmatan tentera, Suria pernah menyertai pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hingga ke Bosnia.

Dia mendapat pencen tentera sebanyak RM900 sebulan namun perlu membayar kepada ah long sebanyak RM600 sebulan kerana membuat pinjaman untuk modal meniaga buah-buahan sebelum ini.