Bomoh batal khidmat rawat pesakit Covid-19 selepas iklan tular
Selepas iklan menawarkan khidmat rawatan kepada pesakit Covid-19 tular di media sosial, dua pengamal perubatan tradisional membatalkan hasrat mereka itu.
Pengamal perubatan tradisional yang mahu dikenali sebagai Ustaz Dor, 50, berkata, dia dan rakanya, Ustaz Mad, 50-an, memang merancangkan menawarkan khidmat tersebut.
"Saya mengaku merancang untuk merawat pesakit Covid-19, namun membatalkan hasrat itu kerana bercanggah dengan perubatan moden.
"Saya dan rakan pada awalnya berniat mahu membantu merawat pesakit Covid-19 atau kontak rapat dengan menggunakan cara perubatan Islam iaitu mengamalkan ayat suci al-Quran.
"Namun, terdapat percanggahan dengan perubatan moden dan ramai yang tidak percaya perubatan Islam ini sebagai satu usaha untuk memulihkan Covid-19," katanya ketika dihubungi media di Kota Bharu, hari ini.
Terdahulu, tular satu iklan dalam bentuk risalah memapar tawarkan rawatan Covid-19 di Bukit Marak, Kelantan.
Sementara itu, Ustaz Dor yang tinggal di Pasir Tumboh, berkata tidak menyangka hebahan berkenaan tular dan susulan itu lebih 50 individu yang menghubunginya untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun katanya, tawaran itu terpaksa dibatalkan selepas memikirkan risiko jangkitan Covid-19 kepada diri sendiri dan keluarga terdekat.
"Kami membatalkan perkara ini (rawatan) selepas memikirkan risiko termasuk akan membawa jangkitan kepada kami dan keluarga. Kami menyuruh mereka (pesakit) mendapatkan rawatan di klinik atau hospital.
"Saya mohon maaf kerana tidak mahu merawat pesakit Covif-19. Saya minta semua hentikan daripada menyebarkan kepada orang ramai," katanya yang sebelum ini hanya merawat individu yang mempunyai masalah sakit urat.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Dr Zaini Hussin menasihatkan orang ramai supaya tidak cepat terpengaruh dengan dakwaan rawatan Covid-19 yang tiada bukti saintifik.
Katanya, kajian saintifik membuktikan bahawa punca Covid-19 disebabkan oleh virus.
"Penyebaran jangkitan juga sudah ada maklumat yang sahih, jadi saya berharap orang ramai membuat rawatan segera di klinik atau hospital," katanya ketika dihubungi.
-MalaysiaKini