Dakwaan cabul peserta Ratu Cantik di Sabah, parti STAR gantung jawatan ahli
KOTA KINABALU: Selepas tular dakwaan salah laku ketika sambutan Kaamatan, baru-baru ini, STAR mengumumkan menggantung jawatan seorang ahlinya sebagai penyelaras salah satu kawasan Parlimen parti itu, di sini.
Setiausaha Agung STAR, Guan Dee Koh Hoi, berkata setakat ini dua laporan polis dibuat terhadap individu terbabit termasuk dakwaan mencabul salah seorang peserta Ratu Kaamatan atau lebih dikenali sebagai Unduk Ngadau.
Beliau berkata, satu lagi laporan polis terhadap individu berkenaan berkaitan ugutan terhadap pengawal keselamatan di Dewan KDCA, di Penampang, ketika salah satu pertandingan sempena Kaamatan diadakan.
“Merujuk kepada isu yang sedang hangat diperkatakan mengaitkan nama parti STAR pada masa ini, saya meminta agar semua pihak mengambil masa untuk bertenang.
“Parti STAR mengambil berat perkara ini kerana STAR adalah Parti yang berperlembagaan dan segala perkara hendaklah diselesaikan mengikut peruntukan undang-undang yang ada dalam parti.
“Sehubungan itu, STAR telah menggantung jawatan ahli yang didakwa itu sebagai penyelaras parti di sebuah kawasan Parlimen,” katanya dalam kenyataan.
Guan Dee yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, tindakan seterusnya akan diambil selepas lembaga disiplin parti bersidang sama ada individu terbabit digantung keahliannya atau dipecat terus daripada parti.
Katanya, tindakan itu juga membuktikan STAR sentiasa terbuka untuk mendengar keluhan dan aduan semua pihak terutama ahli parti.
“Oleh itu, semua ahli dan penyokong parti diminta bertenang dan bersabar menghadapi perkara ini serta tidak membuat sebarang tindakan yang akan mengeruhkan lagi keadaan.
“Marilah kita bersama membangun dan memantapkan STAR, letaklah kepercayaan kepada kepemimpinan parti untuk memimpin dan menjaga parti ini,” katanya.
FMT