Hishammuddin bertemu Al-Sisi, bincang kukuhkan kerjasama dengan Mesir
KAHERAH, 21 Jun – Presiden Mesir Abdel-Fattah al-Sisi dan Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Ahad mengadakan perbincangan dua hala antara lain mengenai kaedah untuk memperkukuh lagi kerjasama dua hala, lapor Xinhua.
Selain itu turut menjadi agenda perbincangan kedua-dua pemimpin adalah isu antarabangsa dan serantau yang mempunyai kepentingan bersama.
Sisi menekankan hasrat Mesir untuk memperkukuh kesepakatan dengan Malaysia di pelbagai forum antarabangsa dan mempertingkat kerjasama dua hala, terutama di peringkat ekonomi, perdagangan, dan pelaburan, kata jurucakap presiden Mesir Bassam Rady dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Hishammuddin menegaskan kesungguhan Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Mesir dalam semua bidang dan pelbagai forum antarabangsa, terutama ketika Mesir sedang rancak melaksanakan pelbagai projek pembangunan.
Terdahulu, Hishammuddin turut mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Mesir, Sameh Shoukry.
– BERNAMA