Inspektor polis ditahan, disyaki rogol tahanan wanita di IPD Kota Bharu
PETALING JAYA: Seorang pegawai polis berpangkat inspektor ditahan kerana disyaki merogol seorang tahanan wanita di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Kelantan, Sabtu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Wan Khairuddin Wan Idris, berkata mangsa berusia 27 tahun mendakwa dipaksa oleh suspek untuk melakukan seks oral dan persetubuhan jika mahu kesnya diselesaikan.
“Menurut mangsa, kejadian berlaku semasa dia dibawa keluar dari lokap oleh suspek dan dibawa ke bilik suspek di BSJN IPD Kota Bharu.
“Semasa berada di bilik tersebut, suspek menyatakan bahawa kesnya boleh selesai sekiranya mangsa menuruti kehendaknya dan memaksa mangsa melakukan seks oral dan persetubuhan,” katanya menurut laporan Bernama.
Terdahulu, beliau berkata mangsa yang berstatus janda berusia 27 tahun dan mempunyai dua anak ditahan bersama bekas suami di rumahnya ketika serbuan oleh pegawai dan anggota BSJN IPD Kota Bharu, Jumaat lalu.
Katanya, susulan serbuan dan tangkapan itu, mangsa dan bekas suaminya direman di lokap Balai Polis Pengkalan Chepa selama tujuh hari hingga Jumaat ini untuk membantu siasatan.
Sehubungan itu, pegawai cawangan narkotik berusia 29 tahun dan sudah berkahwin itu kini direman mulai hari ini hingga Sabtu ini untuk membantu siasatan.
“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan,” katanya.
-