Isteri bela "anak ikan" punca perkahwinan selama 16 tahun retak
SIAPA sangka perkahwinan yang dibina sejak 16 tahun lalu akhirnya terlerai disebabkan kehadiran orang ketiga dalam rumah tangga pasangan Azhar dan Sofia (bukan nama sebenar).
Perpisahan pasangan yang masing-masing berusia awal 40-an itu berlaku selepas Sofia menjalinkan hubungan terlarang dengan pemuda yang jauh lebih muda daripadanya.
Menurut Azhar, perkenalan antara isterinya dengan pemuda bernama Sham (bukan nama sebenar) bermula di sebuah universiti terkemuka di ibu kota.
Ceritanya, Sofia yang berkhidmat sebagai pensyarah di universiti tersebut berkenalan dengan Sham iaitu seorang mahasiswa berusia sekitar 24 tahun.
Azhar yang merupakan seorang pekerja swasta memaklumkan, hubungan isterinya dan Sham semakin rapat kerana sering berjumpa bagi membincangkan hal berkaitan tesis.
“Pada mulanya, hubungan mereka hanya sekadar antara pensyarah dan pelajar. Selepas Sofia menjadi penyelia kepada Sham untuk menyiapkan tesis, hubungan mereka bertukar intim.
“Disebabkan hubungan terlarang itu, perkahwinan saya dan Sofia berakhir sehingga menyebabkan tiga orang anak kami dalam keadaan tertekan,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.
Azhar memaklumkan, Sham digambarkan sebagai seorang pemuda yang memiliki raut wajah kacak dan berperwatakan menarik sehingga ramai wanita mudah jatuh hati padanya.
Jelasnya, hubungan Sofia dengan Sham sudah terjalin selama enam bulan sebelum dia mengetahui percintaan mereka selepas diberitahu oleh seorang rakan yang bekerja di universiti berkenaan.
Azhar pada mulanya tidak percaya dengan khabar angin berkenaan, namun selepas melihat sendiri kemesraan antara Sofia dan pemuda terbabit, dia yakin mereka mempunyai hubungan istimewa.
“Saya pergi ke universiti itu untuk menyiasat apa yang sebenarnya telah berlaku. Apabila melihat kelibat Sham masuk ke bilik Sofia dan duduk berdua-duaan selama lebih sejam, saya mula curiga.
“Tidak cukup dengan itu, Sofia juga dilihat sering mengambil Sham di asrama untuk keluar makan tengah hari dan menonton wayang di luar kampus,” imbaunya.
KERANA terpikat dengan pelajarnya sendiri, Sofia dengan rela hati memberikan sejumlah wang kepada Sham setiap bulan untuk membeli barangan keperluan.
Azhar menambah, Sham boleh dianggap sebagai ‘anak ikan’ kerana hidupnya ditanggung sepenuhnya oleh isterinya pada setiap bulan.
Katanya, Sofia sering memberi sejumlah wang kepada pelajar tersebut bagi membolehkannya membeli barang keperluan atau membayar ansuran bulanan keretanya.
Disebabkan tidak mahu menjadi suami dayus, Azhar akhirnya terpaksa bertegas dengan Sofia dan memintanya segera memutuskan hubungan dengan pelajarnya itu.
Dia juga mengugut untuk melaporkan hubungan cinta mereka berdua kepada pihak atasan universiti sekiranya perkara itu masih berterusan.
Selepas diugut, Sofia akur dengan arahan Azhar.
Bagaimanapun, isterinya masih berhubung dengan Sham menerusi perbualan telefon dan aplikasi WhatsApp.
Selang dua bulan kemudian, Sofia kembali menjalinkan hubungan dengan Sham apabila dilihat masih menghabiskan masa bersama di kampus.
“Saya betul-betul tidak faham kenapa Sofia suka sangat dengan pemuda ‘hingusan’ itu sehingga sanggup mempertaruhkan kerjayanya sendiri. Bagaimanapun, saya tidak sanggup membuat laporan kepada pihak universiti kerana bimbang kerjaya isterinya terjejas.
“Apabila saya tanya sebab dia masih berhubung dengan Sham, Sofia menjawab mereka perlu berjumpa bagi membincangkan perkara berkaitan tesis,” katanya.
Selepas melihat isterinya sukar melupakan Sham dan membuatkannya terus makan hati, Azhar mengambil keputusan untuk berpisah secara baik menerusi perceraian di mahkamah syariah.
Azhar memaklumkan, dia terpaksa bercerai dengan Sofia kerana tidak mahu menjadi lelaki dayus dengan membiarkan isterinya terus bermain cinta dengan pemuda lain.
“Semasa perbicaraan, hakim ada bertanyakan sebab perceraian kami. Saya menceritakan semua yang berlaku antara Sofia dan Sham.
“Hakim menasihatinya supaya segera bertaubat dan memohon maaf kepada saya atas perbuatan buruknya ketika masih bergelar isteri.
“Ia merupakan dosa besar apabila menduakan suami dengan lelaki lain,” ujarnya.
-KOSMO