Isu birokrasi, keengganan terima bantuan vaksin dari negara rakan sebabkan kelewatan vaksinisasi rakyat
13 JUN: Menteri Luar Negara, Dato Seri Hishammuddin bin Tun Hussein mendedahkan bahawa kewujudan masalah birokrasi dan juga keengganan kerajaan dalam menerima tawaran bantuan vaksin dari negara rakan Malaysia menyebabkan kelewatan pemberian dos kepada rakyat dan bakal mengeruhkan hubungan diplomatik.
Kenyataan tersebut dipetik di dalam kenyataan terbaru beliau di hishammuddin.com.my
Menurut beliau, rakyat Malaysia pada awalnya yakin dengan pendekatan proaktif Kerajaan dalam menetapkan pemberian vaksin secara berfasa serta keberhasilan awal mendapatkan bekalan vaksin.
Tetapi hari ini rakyat Malaysia telah bersuara dan menggesa pemberian vaksin agar dipercepatkan kerana bilangan kes harian yang meningkat dimana telah menimbulkan ketakutan, kekecewaan dan keresahan mereka.
"Di sesetengah negara, kita telah lihat ketakutan ini semakin pudar setelah pemberian vaksin dipercepatkan. Di United Kingdom dan Amerika Syarikat misalnya, COVID-19 tidak lagi menimbulkan ketakutan yang sama seperti beberapa bulan yang lalu. Mereka kini telah melangkah ke hadapan dengan yakin dan positif."ujar beliau.
Oleh kerana itu, beliau meminta kerajaan mempertimbangkan secara serius untuk mempelbagaikan penggunaan jenis vaksin bagi meredakan kebimbangan rakyat.
Setakat ini, Malaysia hanya meluluskan penggunaan Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca. Sedangkan, banyak negara telah meluluskan vaksin lain dalam program vaksinasi mereka.
"...Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyenaraikan Johnson & Johnson, Moderna dan Sinopharm untuk kegunaan kecemasan di seluruh dunia. Pastinya mereka tidak salah."
"Ya, saya faham pihak berkuasa berkaitan di negara kita perlu melakukan proses pengesahan dan penyiasatan secara teliti (due diligence).
"Tetapi dalam berdepan situasi tidak normal seperti hari ini, kita tidak boleh gunakan prosedur biasa. Agensi-agensi kita mesti bergerak seiring dengan badan antarabangsa – pantas dalam menetapkan kelulusan kecemasan." ujarnya lagi.
"Banyak rakan Malaysia di seluruh dunia turut menawarkan bantuan tetapi di sinilah birokrasi menjadi penghalang utama."
"Tawaran bantuan ini seharusnya diterima dengan kesungguhan dan bukannya keengganan. Ini pertimbangan antara melakukan perkara secara betul atau melaksanakan perkara yang betul."
"Menolak atau menerima tawaran ini turut akan beri kesan kepada kami di Kementerian Luar Negeri. Sekiranya tawaran ini tidak diterima dengan bersungguh-sungguh, ia berisiko menggugat hubungan diplomatik atau lebih teruk lagi menjejaskan integriti negara kita di pentas antarabangsa. Saya rasa ini bukan risiko yang wajar kita ambil."
Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan pula. Berpandukan dengan apa yang telah dibuat pada tahun lalu, beliau berpendapat negara harus mencari titik persamaan dalam mengimbangi kepentingan melindungi serta menyelamatkan nyawa dan membuka sektor ekonomi bagi menampung keperluan hidup.
"Dengan PKP sedang dilaksanakan, sepatutnya tiada lagi perubahan dan kita mesti konsisten dengan SOP sedia ada. Perubahan yang tidak perlu dan bersifat reaktif hanya akan merencatkan semua yang telah kita capai setakat ini."ujar beliau.
-Tun Carlos