Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kilang perabot isytihar keluarkan keperluan penting diarahkan tutup


SERDANG: Pemilik sebuah kilang di Balakong di sini, diberikan amaran dan diarah tutup bermula esok kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) 'total lockdown'.

Kilang itu didapati mendaftar sebagai kilang membuat peralatan penjagaan diri dan keperluan rumah namun pemeriksaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Rabu mendapati ia menghasilkan perabot.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kilang tersebut memang tersenarai dalam sektor pembuatan namun pembuatan perabot tidak dikategorikan sebagai perkhidmatan perlu.

“Memang benar mereka tidak mengikut SOP apabila kebenaran yang mereka pinta itu daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) adalah merupakan sesuatu yang ada kekhilafan.


“Dia tulis dia dari kilang pembuatan tapi mereka sebenarnya merupakan pembuat perabot, dan di bawah itu ditulis subsektor, seolah-olah dia buat produk harian, keperluan penting... (namun) yang saya lihat ini tidak betul.

“Saya bagi amaran akhir, kalau esok masih lagi bekerja, kita akan ambil tindakan yang tegas,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan di beberapa kilang di sekitar Balakong pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak 781 kompaun dikeluarkan dan 11 orang ditangkap pada hari pertama 'total lockdown' atau sekatan pergerakan penuh yang bermula pada Selasa.

Tegasnya, sekiranya jumlah kompaun dan tangkapan masih tinggi, KDN akan menggerakkan lebih ramai pasukan pemantauan di seluruh negara.


“Kerajaan kali ini akan mengambil tindakan yang tegas. Kalau hari ketiga (Khamis), nampak begitu teruk, banyak industri tak ikut SOP, saya akan pastikan unit pemantauan kita akan perbesarkan (pasukan) lebih banyak (anggota) lagi.

“Buat masa ini kita ada kumpulan-kumpulan tertentu tapi kalau kita rasa terpaksa tambah lebih ramai, kita akan lakukan,” ujarnya.

Tambah beliau, pada Selasa, lebih 13,000 pemantauan dilaksanakan di seluruh negara dan ia akan berterusan bagi memastikan SOP terutamanya melibatkan industri dipatuhi sebaiknya.

-Awani