Pemulihan aset 1MDB difokuskan kepada mereka yang samarkan wang SRC sebagai aktiviti kebajikan -Zafrul
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengesahkan menerima bayaran sebanyak RM336 juta yang telah dideposit ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (Assets Recovery Trust Account) oleh Deloitte PLT.
Wang tersebut adalah sebahagian daripada penyelesaian berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menurut Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan hari ini.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, baki semasa Akaun Amanah hanya cukup untuk melunaskan prinsipal dan faedah hutang 1MDB untuk tahun 2021 dan 2022 sahaja.
"Setelah semua dana Akaun Amanah digunakan, kerajaan masih perlu menanggung obligasi bayaran baki hutang 1MDB memandangkan hutang tersebut adalah disokong oleh kerajaan melalui jaminan kerajaan dan surat sokongan semasa hutang-hutang ini diterbitkan.
"Usaha pemulihan aset 1MDB dan SRC oleh kerajaan pada masa ini memfokuskan kepada pihak-pihak yang telah menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan SRC semasa menjalankan tanggungjawab mereka, sama ada melalui penglibatan secara langsung atau tidak langsung dalam pelbagai operasi dan transaksi 1MDB dan SRC.
"Ini termasuk mereka yang telah menerima wang SRC yang disamarkan sebagai aktiviti kebajikan (CSR)," ujarnya.
Kataya, semua yang terlibat akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas salah laku melalui penglibatan di dalam 1MDB dan/atau SRC.
Sementara itu menurut kenyataan dari Kementerian Kewangan, sehingga kini akaun amanah berkenaan - di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara - telah menerima sebanyak RM16.386 bilion yang disita dan dipulangkan berkaitan 1MDB.
"Jumlah di dalam Akaun Amanah tersebut akan digunakan untuk melunaskan baki hutang 1MDB dan SRC International Sdn Bhd (SRC).
"Baki ini tidak termasuk jumlah penyelesaian sebanyak RM2.83 bilion yang akan diterima dari Kumpulan Ambank dalam masa terdekat.
"Di samping itu, rundingan juga sedang dijalankan dengan KPMG," kata MOF.
Mengulas lanjut, MOF berkata setakat ini, kerajaan telah melunaskan sebanyak RM12.54 bilion hutang 1MDB dan RM3.1 bilion hutang SRC.
"Setakat 31 Mei 2021, baki hutang merangkumi prinsipal dan kupon/ keuntungan/ faedah bagi bon, sukuk dan pinjaman berjangka, adalah sebanyak RM39.66 bilion (1MDB) dan RM2.57 bilion (SRC)," ujarnya.
-FMT