Sebelas lelaki arak mayat dekat Seberang Perai di tahan lokap 4 hari
BUTTERWORTH: Sebelas lelaki yang ditahan semalam kerana melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan menyertai perarakan mengiringi mayat di sini, direman empat hari.
Kumpulan lelaki berusia 15 hingga 35 tahun itu yang dikenal pasti daripada satu rakaman video perarakan itu tersebar di media sosial.
Video itu menunjukkan beberapa lelaki mengusung sebuah keranda sambil diiringi sepasukan pancaragam dengan beberapa lagi membawa sepanduk yang mempunyai gambar si mati dan apa yang dilihat menyerupai simbol geng.
Penolong pendaftar, Nigel Jirin membenarkan permohonan perintah reman oleh polis untuk menyiasat kumpulan lelaki itu menyertai pertubuhan tidak sah dan perhimpunan dianggap haram di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP), penyalahgunaan internet dan cuai dengan kemungkinan menyebarkan penyakit berbahaya.
Kesalahan itu disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan, termasuk peraturan PKP semasa.
Semalam Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor dilaporkan berkata, pengurus rumah mayat memberitahu polis, beliau sudah menasihatkan kumpulan itu tidak menurunkan keranda si mati dari kereta mayat tetapi mereka tetap berdegil mahu berarak mengiringi mayat ke tempat pembakaran.
Katanya, kumpulan terbabit dipercayai rakan si mati, iaitu lelaki berusia 23 tahun yang meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya akibat penyakit tibi pada 16 Jun lalu.
Perarakan dan pengebumian di sebuah krematorium Hindu di Jalan Siram diadakan keesokannya. Polis sedang mengesan individu lain yang turut menyertai perarakan seramai kira-kira 15 hingga 20 orang itu.
-FMT