Semakin hari, negara semakin hilang keseimbangan dalam tangani pandemik -Hishammuddin
13 JUN: Menteri Luar Negara, Dato Seri Hishammuddin Bin Tun Hussein berkata negara kini semakin hilang keseimbangan dalam isu menangani pandemik Covid-19.
Kenyataan tersebut dipetik di dalam kenyataan terbaru beliau di hishamuddin.com.my
"Sudah lebih setahun sejak negara kita catat kes Covid-19 pertama. Dengan kelesuan pandemik kian memuncak, saya dapat lihat rakyat Malaysia semakin gelisah. Ia mudah difahami - telah lebih 450 hari sejak Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama."ujar beliau.
"Saya selalu ingatkan diri saya - dalam kita terus mendepani salah satu saat paling sukar ini, kita tidak boleh biarkan emosi mengambil alih. Kekecewaan boleh membawa kepada tingkah laku yang tidak rasional."
Menurut beliau ketika negara hari ini sekali lagi dalam tempoh PKP , perasaannya sangat berbeza berbanding Mac tahun lalu.
"Ketika itu secara peribadi mahupun sebagai sebuah negara, kita langsung tiada pengetahuan tentang pandemik ini. Kita biarkan ketakutan terhadap perkara yang tidak diketahui serta ketidaktentuan menguasai kita."
"Tetapi kemudiannya kita bangkit. Kita cepat menyesuaikan diri dan belajar bersama-sama negara lain yang turut hadapi ketidakpastian serupa."
Beliau turut mengimbas kembali di mana Kementerian Luar Negeri bertungkus lumus membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di luar negara kerana tidak mahu biarkan mereka berdepan dengan keadaan yang penuh ketidakpastian di negara lain.
"Daripada membawa pulang puluhan ribu rakyat Malaysia ke tanah air sehinggalah menumpukan usaha bagi mendapatkan keperluan asas termasuk pelitup separuh muka, ventilator dan katil hospital daripada rakan-rakan kita di seluruh dunia - saya boleh katakan bahawa bahagian tersebut telah dapat kita laksanakan dan kita mesti menumpukan kepada langkah seterusnya. Malah, di sebalik pandemik COVID-19 serta pelbagai cabarannya, hubungan Malaysia dengan negara-negara lain di seluruh dunia juga semakin teguh dan erat."
Hari ini, selepas lebih 450 hari, beliau mengajak semua melihat kembali apa yang telah dilakukan pada tahun lalu dan memikirkan kewajarannya.
"Perkara yang tidak kita ketahui tahun lalu bukan lagi misteri sepenuhnya. Fokus kita sebelum ini adalah mencapai keseimbangan antara nyawa dan keperluan hidup yang mana inilah keutamaan usaha kita."
"Namun semakin hari, kita semakin hilang keseimbangan antara mengutamakan kesihatan awam dan kepentingan ekonomi."
Dari sudut pemerhatian beliau sebagai Menteri Luar Negeri selepas banyak berkomunikasi dengan rakan sejawat, terutama berkongsi pengalaman dan amalan terbaik negara masing-masing, Hishammuddin cadangkan supaya kerajaan fokus dalam memperkemaskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pemberian vaksinisasi dan ujian saringan covid-19.
-TunCarlos