Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Skandal Tanah LGM: Khairuddin dakwa akan saman bekas Pengerusi Lembaga Getah



PETALING JAYA: Tindakan saman terhadap pihak dan individu yang menyebarkan fitnah berkaitan isu pajakan serta penjualan tanah milik Lembaga Getah Malaysia (LGM) sedang diuruskan, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali.

Beliau juga tidak menolak tindakan sama akan diambil ke atas bekas pengerusi LGM, Ahmad Nazlan Idris jika terdapat keperluan susulan kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Jerantut itu berhubung campur tangan menteri dalam skandal tanah terbabit baru-baru ini.

“Kenyataan media telah dikeluarkan bagi menjawab isu yang dibangkitkan. Laporan polis juga telah dibuat. Tindakan saman kepada pihak dan individu yang menyebarkan fitnah sedang diuruskan,” katanya kepada FMT.


Khairuddin berkata, sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas LGM dirinya berpegang teguh kepada amanah serta integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Pada 27 Mei lalu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendedahkan beberapa surat rasmi bertarikh 18 Dis, 6 Jan dan 11 Mac yang didakwa berkaitan tanah milik LGM dan penglibatan Khairuddin dalam skandal tanah itu.


Khairuddin didakwa meluluskan pajakan tanah di Lot 20013 Jalan Ampang kepada Al-Noor Foundation pada harga 70 sen sekaki persegi berbanding harga pasaran RM2.50 sekaki untuk tempoh 15+10 tahun, dengan kenaikan kadar pajakan 10% setiap lima tahun.

Dakwaan kedua membabitkan Lot 20012 di Jalan Ampang seluas 8.89 ekar yang dicadang dijual kepada Eurowhite Sdn Bhd pada harga RM1,032.92 sekaki, sedangkan harga pasaran sekitar RM1,400 sekaki.

Dakwaan itu disokong bekas pengerusi LGM, Ahmad Nazlan Idris yang menuduh Khairuddin campur tangan dalam skandal tanah agensi itu.



Terdahulu, LGM turut memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan maklumat kurang tepat berkaitan isu pajakan dan penjualan tanah miliknya.


LGM juga menafikan dakwaan Nazlan berhubung campur tangan Khairuddin sambil mengulangi tiada perjanjian pajakan atau transaksi jual beli yang ditandatangani mana-mana pihak berhubung dua lot tanah di Jalan Ampang itu.

Khairuddin mendakwa serangan terhadapnya membabitkan skandal tanah LGM turut didalangi pihak yang mesra dengan pimpinan Umno.

-FMT