Wanita serang polis di Subang, pertahan suami warga Pakistan (VIDEO)
PETALING JAYA – Seorang wanita sanggup membuat provokasi terhadap polis demi menyelamatkan suaminya, yang juga warga Pakistan yang memiliki dokumen palsu ketika pemeriksaan polis di Jalan Persiaran Kewajipan, Subang Jaya, di sini Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 7.26 petang ketika polis membuat pemeriksaan terhadap dokumen lelaki asing itu.
“Polis meminta suspek menunjukkan dokumen pengenalan diri termasuk surat daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), bagaimanapun surat yang dikemukakan adalah palsu.
“Secara tiba-tiba wanita tersebut meluru ke arah polis lalu mengeluarkan kata-kata kesat dan merampas dokumen milik suaminya yang berada di tangan anggota polis.
“Dia turut mempersoalkan pemeriksaan yang dilakukan pihak polis terhadap suaminya itu termasuk cuba menyerang anggota itu,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Ekoran kejadian itu, jelas beliau, pasangan suami isteri berusia 42 dan 33 tahun itu diberkas dan direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.
Terdahulu, video berdurasi 1 minit 59 saat tular di laman sosial memaparkan wanita tempatan itu melakukan provokasi termasuk menyerang anggota polis yang bertugas.
-KOSMO! ONLINE