Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

2,341 petugas KKM dijangkiti Covid-19 lepas lengkap 2 dos vaksin, tapi tiada jangkitan teruk



PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan seramai 2,341 petugas kesihatan dijangkiti COVID-19, walaupun selepas menerima dos lengkap vaksin.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata jumlah itu adalah daripada keseluruhan 9,932 petugas kesihatan yang dijangkiti virus berkenaan sejak penularan wabak itu di negara ini, Februari tahun lalu.

Katanya, walaupun petugas kesihatan itu dijangkiti COVID-19 selepas vaksinasi, namun kesemua mereka tidak mendapat jangkitan yang teruk atau berada dalam Kategori 5.

"Daripada jumlah petugas kesihatan yang lengkap dos vaksin ini, seramai 778 petugas kesihatan berada dalam Kategori 1; 1,559 petugas (Kategori 2); dua petugas (Kategori 3) dan bagi Kategori 4 hanya dua petugas, manakala bagi Kategori Lima tiada rekod membabitkan petugas kesihatan.


"Ini adalah kebaikan vaksin, iaitu mereka yang dijangkiti tidak berada di kategori berisiko atau Kategori 5. Ia tenyata mampu melindungi petugas kesihatan ini daripada berada di tahap yang teruk," katanya dalam sidang media berhubung langkah kesiapsiagaan dan strategi KKM bagi menguruskan pandemik COVID-19 di Lembah Klang, di sini malam tadi.

Dr Adham memaklumkan, sehingga kini jumlah kes aktif membabitkan petugas kesihatan yang sedang menerima rawatan di pusat perubatan adalah seramai 678 individu, manakala seramai 1,812 individu pula sedang menjalani kuarantin.

Adham Baba

"Ketika petugas kesihatan ini dikuarantin, mobilisasi petugas kesihatan lain akan digerakkan bagi menggantikan petugas kesihatan yang dijangkiti COVID-19 berkenaan," katanya.

Tambahnya, pihak kementerian juga kini sudah menambah jumlah petugas kesihatan ini sejak tiga bulan lalu bagi mengelakkan berlakunya kekurangan petugas di semua hospital.

Berikutan itu, Dr Adham meminta petugas kesihatan itu kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan ketika melaksanakan tugas masing-masing.

Katanya, ketua jabatan juga perlu sentiasa memantau SOP yang digunakan oleh petugas kesihatan masing-masing bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

-UTUSAN