Bapa masuk hospital untuk pembedahan mati akibat covid, keluarga tuntut penjelasan
KUALA LUMPUR: Keluarga seorang penyelidik mengeluarkan notis tuntutan kepada sebuah hospital awam bagi mendapatkan penjelasan mengapa lelaki itu, yang dimasukkan ke hospital tersebut untuk menjalani pembedahan, akhirnya meninggal dunia kerana Covid-19.
Peguam keluarga, Wan Azmir Wan Majid mendakwa Mohd Rum Anuar, yang berusia 70 tahun dan bekerja sebagai penyelidik di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), disahkan negatif ketika dimasukkan ke hospital itu pada 5 Mei lalu.
Menurutnya, Mohd Rum dijangkiti Covid-19 pada 14 Jun lalu, iaitu lima hari selepas dia dimasukkan ke bilik yang sama dengan seorang pesakit perempuan yang mengalami batuk yang teruk selama lima hari.
"Mohd Rum telah dikategorikan sebagai pesakit Covid-19 Kategori 4 kerana memerlukan bantuan pernafasan dan telah dipindahkan ke wad pesakit Covid-19...Selepas tujuh hari, dia disahkan meninggal dunia pada 21 Jun," katanya dalam sidang media secara dalam talian hari ini.
Malaysiakini tidak mendedahkan nama hospital sementara menunggu maklum balas pihak terbabit.
Wan Azmir berkata, seramai lima ahli keluarga arwah, termasuk tiga anak lelaki yang menjaganya di hospital, turut dijangkiti Covid-19.
Sebelum ini, dakwanya lagi, anak lelaki arwah telah memberitahu pihak hospital berkenaan gejala yang ditunjukkan pesakit perempuan yang berkongsi bilik dengan bapa mereka.
"Pesakit wanita itu menunjukkan gejala batuk yang teruk tanpa pelitup muka sehingga menyebabkan kerisauan kepada waris yang menjaga Mohd Rum sekiranya berlaku apa-apa jangkitan terhadapnya. Pesakit wanita itu tidak diasingkan di bilik lain.
"Perkara ini telah dimaklumkan waris kepada pihak hospital namun dimaklumkan tiada tindakan segera diambil," katanya.
Dia berkata anak guamnya sebelum ini memberi tempoh 14 hari kepada hospital untuk laporan penuh siasatan, laporan perubatan, serta prosedur operasi standard (SOP) bagi pengendalian pesakit di Unit Rawatan Rapi (ISA) hospital itu.
"Hari ini adalah hari terakhir (untuk tempoh 14 hari yang diberi) dan kami masih belum menerima sebarang respons daripada hospital.
"Jika tiada maklum balas daripada hospital pada minggu depan, mungkin saya akan dapatkan arahan daripada anak guam saya sama ada untuk dapatkan permohonan penzahiran (discovery application) atau teruskan dengan saman," katanya lagi.
Turut hadir dalam sidang media adalah anak kepada arwah, Siti Syakirah Mohd Rum.
Menurut Siti, sepanjang 40 hari bapanya di hospital, dia tidak pernah dijangkiti Covid-19 sehinggalah dia dipindah ke wad rehabilitasi pada 9 Jun.
"Tiga adik beradik saya yang bergilir jaga bapa antara 20 Mei hingga 13 Jun disahkan positif Covid-19.
"Ibu saya, yang tinggal dengan salah seorang mereka, turut dijangkiti dan dirawat selama 10 hari. Seorang ipar saya juga disahkan positif Covid-19," katanya.
Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Kesihatan untuk mengulas perkara ini.
Dalam pada itu, firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak yang mewakili pihak keluarga, berkata perkara berkaitan Covid-19 perlu ditangani secara segera kerana ia melibatkan individu yang berisiko tinggi untuk dijangkiti.
"Hampir seluruh ahli keluarga Mohd Rum juga telah disahkan positif Covid-19 dan terpaksa menjalani kuarantin.
"Bagaimanapun mereka amat menghargai dan menyanjungi usaha dan penat lelah para petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus merawat Mohd Rum sepanjang rawatannya," kata firma guaman itu, sambil menambah pihak keluarga juga reda dengan apa yang berlaku.
-MalaysiaKini