Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Dasar perdagangan Malaysia tak konsisten, bimbangkan pelabur AS



GEORGETOWN: Dasar perdagangan negara yang tidak konsisten menyebabkan sebahagian daripada pelabur daripada Amerika Syarikat (AS) berbelah-bahagi untuk menanam modal di negara ini.

Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Brian McFeeters berkata, meskipun Malaysia secara amnya adalah destinasi yang masih menarik minat pelabur dari negara berkenaan, namun dasar sedemikian menyebabkan pelabur AS memilih untuk lebih berhati-hati.

Tambahnya, perkara itu adalah sesuatu yang perlu ditangani memandangkan Malaysia mempunyai kelebihan bagi pelabur AS khususnya kerana mempunyai modal insan berkemahiran tinggi selain kemampuan berbahasa Inggeris yang meluas dalam kalangan rakyatnya.

“Sebahagian pelabur AS yang sudah lama bertapak di sini berasakan dasar perdagangan di negara ini sukar untuk difahami dan kadangkala berasa bimbang berhubung pelaksanaannya.

“Sebagai contoh terdapat dasar pelaburan yang secara tiba-tiba diperkenalkan oleh kerajaan yang perlu dipatuhi oleh pelabur dan cara pelaksanaannya juga kadang-kadang mengelirukan. Situasi ini mewujudkan suasana yang tidak menggalakkan untuk pelabur dari AS,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar secara dalam taliann bersama media tempatan selepas melakukan lawatan dan pertemuan maya dengan sekumpulan pihak berkepentingan di Pulau Pinang termasuk Ketua Menteri, Chow Kon Yeow hari ini.

Menurut McFeeters, isu berkaitan dasar perdagangan yang tidak memberangsangkan itu boleh diatasi menerusi komunikasi berkesan antara pelabur terlibat dengan badan atau agensi kerajaan yang berkaitan.

Peranan tersebut juga jelas beliau, boleh dimainkan dengan lebih proaktif dan berkesan oleh Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM) sekali gus mewujudkan persekitaran pelaburan yang lebih memberangsangkan kepada pelabur AS.


Menyentuh mengenai pelabur AS di Pulau Pinang pula, menambah, ketika ini terdapat beberapa nama besar khususnya dalam industri teknologi maklumat yang sudah sedia bertapak di negeri ini antaranya syarikat Intel iaitu sejak 40 tahun lalu.

Malah ujar beliau, beberapa syarikat gergasi dari negara tersebut turut menyatakan minat untuk melabur di negeri ini termasuk syarikat DexCom yang akan membuka kilang pertamanya di sini tahun depan.

“Cabaran utamanya ketika ini adalah bagaimana untuk berdepan dengan pandemik Covid-19, namun kita melihat penggiat dalam sektor perkilangan ini juga sudah mula menerima vaksin yang seharusnya mampu menjadikan situasi perdagangan lebih baik,” katanya. 

– UTUSAN ONLINE