KUALA LUMPUR: Empat Ahli Dewan Negara mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim, hari ini.
Mereka ialah Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin, Datuk John Ambrose, Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee dan Datuk Bobbey Ah Fang Suan.
Ahli Dewan Negara lantikan semula penggal kedua oleh Yang di-Pertuan Agong ialah Radzi yang berkuat kuasa mulai 17 Julai lepas hingga 16 Julai 2024, John Ambrose (mulai 16 Jan lepas hingga 15 Jan 2024) dan Teo (hari ini hingga 18 Julai 2024).
Sementara Bobbey adalah lantikan kali pertama pilihan Dewan Undangan Negeri Sabah berkuat kuasa mulai 5 Jan lepas hingga 4 Jan 2024.
Keempat-empat mereka mengangkat sumpah sebagai senator pada majlis yang berlangsung di Dewan Negara, Blok Utama Parlimen di sini.
Rais ketika berucap mengalu-alukan pelantikan empat Ahli Dewan Negara itu mengingatkan mereka supaya melaksanakan segala amanah yang diberikan dengan cemerlang.
"Sumpah yang dilafazkan yang berhormat senator sekalian, harus dijunjung dan didaulatkan dengan segala upaya agar Perlembagaan Persekutuan dan sistem legistatif dapat berfungsi dengan baik.
"Renungkan hal-hal di persekitaran kita dan tanya diri kita bagaimana untuk menjadi senator, wakil rakyat, menteri dan timbalan menteri yang cemerlang untuk rakyat," katanya.
Sementara itu, Rais berkata, peranan Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara yang ditubuhkan sebelum ini, akan ditambah baik fungsinya agar lebih formal dengan dijadikan ia sebagai Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara.
Beliau berkata, jawatankuasa khas itu akan memastikan segala kemaslahatan rakyat dan isu yang melingkari negara dapat diselesaikan sebaik mungkin sekali gus menjadikan Dewan Negara sebagai institusi yang berwibawa.
"Pesan kepada kepada semua menteri dan timbalan menteri yang berkhidmat berkaitan dengan Dewan Negara agar semuanya bersama-sama menjayakan peranan kemasyarakatan dan kesejahteraan melalui jawatankuasa pilihan khas ini," katanya.
Mesyuarat Khas Dewan Rakyat dijadual 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos manakala Mesyuarat Khas Dewan Negara berlangsung pada 3 hingga 5 Ogos.
- BERNAMA