KUALA LUMPUR: Hampir 500 orang penunjuk perasaan dengan berpakaian hitam berkumpul di luar Masjid Jamek membuat perarakan ke Dataran Merdeka untuk tunjuk perasaan #Lawan.
Polis telah menutup beberapa laluan masuk ke Dataran Merdeka susulan tunjuk perasaan itu yang menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Beberapa penunjuk perasaan menggendong ‘mayat’ berkafan, merujuk kepada kematian akibat wabak Covid-19.
Ramai dalam kalangan penunjuk perasaan membawa kain rentang dan plakad yang tertulis Kerajaan Gagal.
Hasil dari tinjauan, ramai juga peserta gagal megikuti SOP penjarakan fizikal. Untuk rekod kes positif yang dikesan di Lembah Klang pada kelmarin sahaja melebihi 8000 kes.
Teriakan “Tolak Muhyiddin”, “Letak Jawatan” dan “Bangkit Rakyat” bergema ketika para penunjuk perasaan mula bergerak menuju Dataran Merdeka.
Seorang penunjuk perasaan menyeru mereka yang berkumpul untuk berarak ke Dataran Merdeka.
Naib Presiden PKR Tian Chua adalah antara ahli politik yang hadir, katanya sebagai tanda solidariti dengan para penunjuk perasaan, yang kebanyakannya golongan belia yang kebanyakkan menyokong PH, PEJUANG dan parti MUDA.
Bekas Ahli Parlimen Batu itu memberitahu FMT, beliau ingin melihat lebih ramai rakyat Malaysia dan golongan belia bersuara menentang ketidakadilan dan mendorong perubahan di Putrajaya.
“Kita sedang melihat kemunculan gelombang baharu aktivisme belia. Ini adalah sesuatu yang harus kita banggakan,” katanya ketika ditemui.