Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Jika pakatan PH dan UMNO berlaku, Anwar akan diangkat sebagai PM -PKR


PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) mampu membentuk kerajaan bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN) berdasarkan persefahaman atas satu matlamat dan objektif yang sama untuk dicapai.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mat Akin berkata, bagi menjayakan hasrat itu, setiap parti tidak memberi fokus kepada kepentingan parti masing-masing, malah perlu melebihi tujuan itu demi membolehkan penubuhan kerajaan baharu berkesan dan stabil.

Bagaimanapun beliau berkata, jika pakatan antara PH dan BN berlaku, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentunya akan diangkat sebagai Perdana Menteri.

“Kita mesti berpusat kepada kekuatan kepemimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri. Anwar telah berulang kali membuktikan bahawa kita dapat mempertemukan semua parti.

“PH dan BN mampu membentuk kerajaan berdasarkan matlamat sama iaitu fokus untuk rakyat dan membantu keperluan mereka ketika ini (pandemik). Kita tidak fokus kepada kepentingan parti atau individu,” katanya dalam Twitter beliau.


Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi keyakinan kepada ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO bahawa pemimpin parti itu akan kembali menjadi Perdana Menteri dalam jajaran baharu yang bakal dibentuk.

Menurut sumber, perkara itu dinyatakan Presiden UMNO dalam pertemuan bersama ahli MT sebagai menyokong usaha UMNO menarik balik sokongan daripada Kerajaan PN.

Bagaimanapun, Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul menyifatkan, isu Ahmad Zahid menjadi Perdana Menteri selepas UMNO mengetuai jajaran baharu hanyalah satu bentuk perang psikologi.

Beliau menjelaskan, adalah mustahil Presiden UMNO itu mampu memegang jawatan tertinggi dalam pemerintahan negara kerana parti itu tidak cukup majoriti berbanding blok terbesar PH yang ada dalam Parlimen.

Justeru beliau menegaskan, Anwar tetap menjadi Perdana Menteri dalam pembentukan jajaran baharu PH bersama UMNO kelak.

-UTUSAN