Mengimbau 10 tahun himpunan BERSIH, Malaysia Baru yang diidam ternyata silap
Semalam genap 10 tahun penganjuran perhimpunan Bersih 2.0 yang menghimpunkan puluhan ribu rakyat dari seluruh negara di tengah-tengah ibu kota.
Walaupun penyertaan tidaklah seramai Himpunan Bantah ICERD, protes yang diadakan pada 9 Julai 2011 menyaksikan lautan kuning di Kuala Lumpur apabila orang ramai turun ke jalan raya bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil.
Semalam, individu-individu penting di sebalik penganjuran protes berkenaan berkumpul dalam satu webinar untuk mengimbau kenangan dan pengalaman di sebaliknya.
Webinar itu mengumpulkan S Ambiga, pengerusi Bersih ketika itu; bekas pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah; penganalisis politik Prof Wong Chin Huat; pemimpin Pertubuhan Ikram Malaysia Zaid Kamaruddin dan pengerusi Bersih 2.0 kini, Thomas Fann.
Maria, Wong dan Zaid merupakan AJK pemandu Bersih ketika itu
Ia dikendalikan moderator Ooi Kok Hin dan disiarkan di laman Facebook rasmi Bersih 2.0.
Baik Ambiga mahupun Maria, kedua-duanya mengaku tidak sekali-kali menyangka perhimpunan itu akan mengecap kejayaan sebegitu rupa, apabila puluhan ribu penunjuk perasaan dari seluruh negara "menyusup" masuk ke Kuala Lumpur untuk menyertainya, meskipun kota itu penuh dengan sekatan pihak berkuasa.
Kata Wong, semasa dan seusai perhimpunan, peserta menangis kerana dua perkara. Pertama kerana ditembak dengan gas pemedih mata.
Kedua, katanya, apabila mereka tersentuh kerana kalangan yang menyertainya adalah daripada latar belakang berbeza, dan mereka akhirnya saling membantu ketika diserang pemedih mata - berkongsi tuala, air dan garam.
Sebagai pengerusi Bersih ketika itu, kata Ambiga, dia ada kala tertanya-tanya apakah mereka melakukan hal yang betul ketika merancang perhimpunan tersebut.
Tetapi, katanya lagi, Maria dan Wong sentiasa ada untuk memberi galakan kepadanya.
Perhimpunan Bersih 2.0 menuntut lapan perkara, iaitu membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal, masa kempen minimum 21 hari, akses media yang bebas dan adil, pengukuhan institusi awam, menghentikan rasuah dan menghentikan politik kotor.
Untuk rekod, dakwat kekal mula digunakan semasa PRU 2013, iaitu kira-kira dua tahun selepas perhimpunan itu. Tapi selepas penggunaan dakwat kekal digunakan, parti-parti pembangkang membantah pula.
Jika dulu Bersih 2.0 berjuang untuk reformasi pilihan raya, kata Thomas, kini situasi di Malaysia lebih rumit dengan pelbagai isu demokrasi dan politik seperti amalan lompat parti dan penggantungan Parlimen - kedua-duanya memerlukan perubahan.
Asakan polis rancakkan lagi protes
Mengenang kesulitan yang dialami ketika menganjurkan Bersih 2.0, Maria dan Ambiga berkata pada masa itu isu pilihan raya agak sulit dan tidak menarik perhatian orang ramai.
Namun, kata Ambiga, daripada satu sisi, dia berterima kasih atas asakan polis terhadap mereka yang telah memancing perhatian lebih ramai orang untuk turut serta.
“Orang berfikir 'mesti betul-betul ada sesuatu yang tidak kena dengan pilihan raya, sebab itu polis mengambil tindakan keras ke atas kami',” katanya.
Mengikut rancangan awal, perhimpunan itu sepatutnya dilakukan di Dataran Merdeka.
Namun, setelah Bersih menghadap dengan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin, lokasi perhimpunan ditukar ke Stadium Merdeka.
Antara tempat berkumpul adalah Jalan Petaling, kawasan sekitar Kompleks Daya Bumi, Masjid Jamek, Pudu dan Sogo. Kesemuanya tidak sunyi daripada kawalan pihak berkuasa.
Penunjuk perasaan berdepan asakan termasuk gas pemedih mata, meriam air, dan juga penahanan oleh pihak polis bagi menyekat kemaraan mereka ke lokasi perhimpunan.
Media ketika itu turut melaporkan pertembungan antara penunjuk perasaan dan pihak polis. Dilaporkan, seramai 1,667 orang ditangkap daripada perhimpunan berkenaan apabila peserta demontrasi bertindak ganas terhadap anggota polis.
Wong pula mengimbau dua hari sebelum perhimpunan ketika dia, Ambiga dan Sasterawan Negara A Samad Said - yang ketika itu seakan menjadi simbol protes - dipanggil ke ibu pejabat polis di Bukit Aman untuk bertemu ketua polis negara ketika itu, Ismail Omar.
Menurut Wong, mereka ketika itu berbincang untuk mengubah lokasi himpunan, antara pilihan yang diberikan adalah Stadium Bukit Jalil dan Stadium Kelana Jaya.
Bagaimanapun, katanya lagi, Ambiga tetap bertegas mempertahankan lokasi yang dipilih mereka.
Kata Wong, pertemuan itu berakhir dengan mereka menyatakan pendirian - walau apa pun terjadi, hatta jika ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), ia tetap akan dijalankan pada 9 Julai 2011 seperti dirancang.
Bersih 2.0 melangkah ke hadapan
Bergerak ke hadapan dalam era baru, Maria berkata Bersih 2.0 harus seiringan dan menyokong gerakan-gerakan baru anak muda yang kian banyak muncul mutakhir ini, bagi menyuarakan pandangan dan menuntut perubahan daripada kerajaan.
Ini termasuklah gerakan seperti kempen bendera hitam yang tular baru-baru ini.
Gerakan itu hadir dengan tiga tuntutan yang perlu dipenuhi segera, iaitu supaya Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, mengadakan sidang Parlimen secara penuh dan penamatan darurat.
Malaysia Baru yang diidamkan ternyata silap
Pada akhirnya, rata-rata panelis mengakui bahawa perubahan bukan proses yang mudah, sebaliknya memakan masa yang panjang.
Bagi Wong pula, pada perhimpunan Bersih 2.0 sedekad yang lalu, dia menyangka Malaysia yang baru telah lahir. Namun, dia ternyata silap setelah Pakatan Harapan berjaya mengambil kuasa daripada Barisan Nasional.
Untuk rekod Pakatan Harapan yang diharapkan mereka untuk membuat perubahan kepada Malaysia Baru ternyata hanyalah hipokrit. Ramai rakyat berasa tertipu setelah menyokong mereka semasa PRU14.
Ditambah lagi dengan pelbagai janji-janji manis ketika PRU14 mereka tidak dapat tunaikan.
Katanya Wong, Malaysia baru - atau digelarnya Malaysia 2.0 - hanya disenyawakan (conceived) pada hari bersejarah itu sahaja.
Suatu hari nanti, apabila tiba masanya, Malaysia baru yang diimpikannya akan lahir juga, katanya lagi.
-TunCarlos